Umno mungkin boleh menggunakan isu perkauman untuk menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun ia tidak akan berkesan dalam jangka masa panjang sekiranya kerajaan gagal menyelesaikan isu sebenar mengenai pentadbiran tidak baik, dakwaan rasuah serta ekonomi, kata pemerhati politik dalam dokumentari television Singapura Channel News Asia (CNA) malam tadi.
Bercakap dalam program “Insight”, dokumentari yang bertajuk “A fractured nation”, tiga pemerhati politik berkata, isu perkauman digunakan kerana ia memberi keyakinan kepada Najib beliau masih mempunyai sokongan, walaupun perdana menteri dan presiden Umno itu terus diperhatikan ramai berhubung pentadbiran dan dakwaan skandal beliau.
Namun Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, penggunaan isu perkauman tidak akan bertahan kerana orang ramai perlu memikirkan kelangsungan hidup mereka apabila ekonomi mula memburuk.
“(Mereka) yang di sekeliling (Najib) yang menggunakan perkauman untuk terus hidup. Tetapi ia tidak akan berkekalan. Akhirnya, apabila ekonomi jatuh mereka akan fikirkan kelangsungan hidup mereka,” kata pensyarah itu dalam dokumentari selama 30 minit itu.
Penganalisis berpangkalan di Singapura Dr Ooi Kee Beng mengambil pandangan perkauman merupakan ciri “standard” dalam politik Malaysia, dan ia selalu “ada” untuk digunakan ahli politik.
“Perkauman adalah kad utama. Ia selalu boleh digunakan.
“Tetapi kini Melayu adalah majoriti dan dari segi ekonomi, mereka mengawal syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mengawal kerajaan dan Parlimen… jadi mengatakan yang mereka diancam adalah tidak masuk akal.”
Ooi yang merupakan timbalan pengarah Institut Yusof Ishak ,Institute of South East Asian Studies (ISEAS) berkata, lebih ramai orang mahukan Putrajaya fokus kepada pentadbiran baik berbanding asyik bercakap tentang hak kaum.
CNA dalam komentarinya di dalam dokumentari tersebut berkata Melayu “ultranasionalis” yang mengambil bahagian dalam “himpunan baju merah” pada 16 September “mahu percaya” masalah Malaysia adalah berkaitan kaum, tetapi melihat “ramai penduduk bandar berpendapatan sederhana, termasuklah bukan Melayu dan sedar perdebatan semasa lebih berkaitan pentadbiran buruk, rasuah dan sikap autoritarian yang semakin meninggi.”
CNA juga menemuramah Ibrahim Suffian dari Merdeka Center, yang mengatakan Malaysia sedang berdepan dengan faktor luaran yang tidak dapat dikawal mereka, seperti kejatuhan pendapatan dari minyak dengan keuntungan kerajaan terkesan dan kemudiannya “menjejaskan kemampuan untuk memberikan naungan.”
“Terdapat beberapa faktor negatif yang bermain, menjadikannya sukar bagi kerajaan untuk mengendalikannya. Jadi konsep baik 1Malaysia akan perlu diketepikan sementara,” kata Ibrahim, menjelaskan mengapa perkauman begitu kerap digunakan.
“Himpunan baju merah” yang diadakan pada Hari Malaysia, apabila negeri Borneo Sabah dan Sarawak menyertai pembentukan Malaysia, adalah untuk melawan perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos yang menuntut reformasi demokrasi dan peletakan jawatan Najib.
Penganjur “perhimpunan baju merah” mengatakan perhimpunan Bersih mengguris maruah Melayu, dan Najib menyokong kenyataan tersebut.
Ooi berkata Najib tidak mempunyai pilihan selain memberi respons menyokong retorik perkauman “perhimpunan baju merah” kerana rata-rata pesertanya adalah penyokong beliau.
“Beliau tidak mungkin menentang mereka secara terbuka. Apabila berlakunya demonstrasi besar menuntut peletakan jawatannya, beliau tidak mampu untuk tidak memberi perhatian kepada kumpulan ini pada masa yang sama,” kata Ooi.
Bagaimanapun tinjauan menunjukkan populariti Najib sedang menjunam, dan Ooi memetik penilaian Merdeka Centre ke atas Najib, serta anekdot dari pilihan raya kecil sebelum ini yang kurang menggunakan potret Najib dalam kempennya.
“Kini dengan 1MDB, popularitinya betul-betul menjunam dan ia membimbangkan pemimpin terdahulu seperti Tun Dr Mahathir (Mohamad)” kata Ooi, merujuk kepada pelaburan milik kerajaan berhutang RM42 bilion, dan bekas perdana menteri yang kuat mengkritik Najib.
Menjelaskan perubahan dalam pendekatan Najib berbanding pada permulaan pentadbirannya pada 2009, apabila beliau mempromosi slogan 1Malaysia sebagai cara menyatukan rakyat pelbagai kaum negara, Ooi berkata perubahan bermula dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), di mana Barisan Nasional kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen berbanding pembangkang, walaupun masih membentuk kerajaan.
“Saya rasa sudah jelas pada malam pilihan raya pada 5 Mei, 2013, apabila beliau memberikan ucapan kemenangannya yang disampaikan dalam nada tertekan, dan beliau bercakap tentang tsunami Cina, dari titik itulah saya rasa slogan 1Malaysia tidak dapat digunakan lagi.
“Saya rasa, yang sedihnya slogan 1Malaysia akan sentiasa diingati sebagai kaitannya dengan 1MDB. Cina semakin terasing dari kerajaan memerintah BN. Beliau seakan putus asa,” kata Ooi.
Sementara itu, CNA berkata walaupun Najib boleh kekal berkuasa dengan menjawat jawatan dalam Umno dan kerajaan yang setia padanya, beliau lambat laun perlu berdepan dengan pengundi juga.
Ooi menambah Umno akan lama-kelamaan hilang kuasa sekiranya ia “berterusan begini di bawah Najib.”
“Ia perlu mengubah imejnya dan itu tidak boleh berubah selagi Najib masih ada.”