Bukan mudah untuk meninggalkan PAS yang pernah dianggotai selama berdekad dalam memperjuangkan kebajikan rakyat berlandaskan Islam, namun itulah pengorbanan besar dilakukan 2 pemimpin untuk meneruskan kesinambungan perjuangan.
Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail juga memberi semangat dan inspirasi kepada bekas naib presiden PAS, Salahuddin Ayub yang kini merupakan timbalan pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah).
“Bukan mudah untuk melepaskan dan kita memberi apa yang kita sayang. Tidak boleh dinafikan selama 35 tahun saya dengan PAS menjadi suatu yang terlalu sentimental.
“Atas kesayangan itulah kita melihat keperluan-keperluan lebih besar untuk membawa Islam dan ambil peristiwa (korban) dan pengorbanan itu,” katanya kepada The Malaysian Insider yang mengakui pada mula sukar baginya untuk membuat keputusan untuk meninggalkan PAS.
Menurut Salahuddin, apa yang tertanam di dalam hatinya ialah untuk meneruskan perjuangan dan mengisi ruang kosong pakatan pembangkang untuk masa depan politik negara.
“Saya hanya melangsungkan kecemerlangan politik Islam dalam konteks negara Malaysia,” kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu apabila ditemui awal minggu ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut menyertai Amanah menegaskan, pengorbanan perlu dilakukan untuk kepentingan bersama dan bukannya individu.
“Zulhijah itu adalah bulan pengorbanan dan setiap kita hidup mesti berkorban.
“Kita perlu membuat keputusan lebih baik bukan untuk diri sendiri, tetapi kepentingan yang lebih besar,” kata bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider.
Pada Selasa PKR, DAP dan Amanah mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang dibubarkan sebelum ini.
Bagaimanapun, parti Islam PAS tidak menyertai Pakatan Harapan kerana tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah.
Namun, PAS mengatakan akan meneruskan kerjasama dengan PKR.