Tiga lawatan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansur keluar negara telah menimbulkan tanda tanya di kalangan pemerhati politik Malaysia; apakah posisi sebenar beliau dalam kerajaan sehingga dibenar bertemu pemimpin negara asing dan membincangkan polisi dua hala Malaysia.
Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, situasi ini menimbulkan keraguan apakah Jabatan Perdana Menteri telah mewujudkan jawatan baru dengan bajet tertentu untuk isteri Perdana Menteri. Hal ini berikutan kewujudan Fist Lady Division yang terpapar dalam website Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini sedangkan kerajaan tidak pernah mengumumkan secara rasmi kewujudan jawatan atau jumlah kakitangan untuk menguruskan Fisrt Lady Division itu.
“Saya inginkan penjelasan dari Pejabat Perdana Menteri dalam isu ini, apakah struktur telah diubah kerana memperakukan isteri Perdana Menteri melakukan tugas-tugas khas, menjalankan hubungan dua hala dengan negara luar.
“Rosmah telah melawat ke Arab Saudi dan bertemu dengan Menteri Pelajaran negara itu. Pergi ke Oman dengan tujuan hubungan dua hala dan kini berada di Dhaka, Bangladesh.
“Dalam sejarah Malaysia sejak Tunku Abdul Rahman menjadi PM tidak pernah wujud peranan khusus kepada isteri Perdama Menteri kecuali mengiringi suami mereka keluar negara. Begitu juga di negara-negara lain. Hanya isteri PM Tunisia yang digulingkan baru-baru ini sahaja yang mempunyai tugas rasmi,” bidas Mahfuz.
Tambah beliau, akan berlaku pertindihan tugas antara Rosmah dan menteri kabinet lain apabila isteri PM melakukan pertemuan dengan pemimpin negara lain. Hal itu akan merosakkan polisi negara. Begitu juga dengan bajet ketika melakukan lawatan yang tidak diketahui dari mana sumbernya.
“Adakah PM rasa menteri kabinetnya tidak laksanakan tugas dengan baik sehingga perlu menghantar isterinya. Perbuatan ini akan merosakkan dasar negara.
“Apa hak Rosmah sebagai isteri PM bertemu dengan Menteri Pelajaran negara lain. Bukankah ia akan mencetuskan krisis dengan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin?” tanyanya.
Mahfuz juga mempersoalkan apakah jawatan First Lady itu diilhamkan dari laporan jawatankuasa PEMANDU yang kebelakangan ini banyak menghasilkan program-program menaikkan imej PM Najib.
“Saya ingin bertanya adakah First Lady Division ini hasil dari makmal jawatankusa PEMANDU? Mereka kurangkan subsidi keperluan asas bagi rakyat dan wang itu dipindahkan ke Fisrt Lady Division.
“Kita telah menghadapi banyak krisis, janganlah tambah lagi krisis dengan mewujudkan jawatan baru ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau dan Pakatan Rakyat akan menghantar memorandum bantahan ke Jabatan Perdana Menteri berhubung kontroversi berkenaan.
“Saya bersama Pakatan Rakyat akan hantar memorandum. Mengapa isteri PM dibenar menjalankan hubungan dua hala, bajet rasmi kerana dia bukan anggota kabinet dan Fist Lady sepatutnya permaisuri Agong, bukannya isteri PM,” jelas Mahfuz lagi.