Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen menegaskan bahawa rawatan perubatan dan pembedahan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh sesekali dipolitikkan, ini kerana beliau mempunyai hak untuk memilih doktor yang dipercayai bagi mendapat rawatan yang terbaik.
Jelasnya, tahap kesihatan Anwar sangat membimbangkan dan beliau masih belum menerima sebarang rawatan yang betul bagi kesakitan yang dialaminya di bahagian bahu kanan, walaupun aduan telah dibuat oleh keluarga dan peguamnya.
“Tanggungjawab utama doktor adalah memberi rawatan demi kepentingan pesakit dan mereka perlu mengetepikan mana-mana pandangan politik dan berlaku adil serta profesional semasa menjalankan tugas mereka.
“Anwar hanya di bawa ke hospital sekejap sahaja selepas itu kembali ke penjara, beliau hanya diberi ubat penahan sakit dan tidak menerima rawatan fisioterapi intensif seperti yang dikehendaki,” katanya.
Sehubungan dengan perkara itu, Eric mahu kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa piawaian antarabangsa seperti PBB Peraturan Standard Minimum untuk Rawatan Banduan (Peraturan Mandela) yang telah disemak semula pada 2015 perlu dipatuhi.
“Kerajaan mempunyai tanggungjawab tertentu dalam Peraturan 24 yang memerlukan tahanan menikmati standard yang sama penjagaan kesihatan yang terdapat di dalam masyarakat, dan Peraturan 27, dimana banduan yang memerlukan rawatan khusus atau pembedahan hendaklah dipindahkan kepada institusi khusus atau kepada hospital awam.
“Oleh itu, Anwar berhak mendapat rawatan yang lebih baik daripada apa yang diterimanya sekarang. Maka kami menyeru pihak berkuasa untuk menyediakan awatan perubatan dengan segera untuk memenuhi keperluan khusus perubatan dan untuk memastikan bahawa kesihatan Anwar tidak menjadi lebih buruk,” tegasnya.