“Harga minyak naik lagi. Dalam masa zaman susah ni, harga minyak dinaikkan pula. Mengapa kerajaan gagal kekalkan harga minyak RON95 di bawah RM2? Memanglah kerajaan ni langsung tidak prihatin,” luah seorang suri rumah, puan Wong di pasar pagi Kepong Baru pada 1 Oktober 2015.
Tinjauan yang dilakukan wartawan Suara Pakatan Daily pada 1 Oktober lalu ketika harga baru RON95 telah dinaikkan dari RM1.95 seliter hingga ke RM2.05 seliter menimbulkan rungutan orang awam.
Semua orang di pasar pagi Kepong, pinggiran Kuala Lumpur, mengkritik tindakan kerajaan BN kerana menambah satu lagi beban yang terpaksa ditanggung ketika harga barang sudah naik akibat dari perlaksanaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan sejak 1 April lalu.
Seorang penjual ikan yang mahu dikenali sebagai Gan, berusia 60 tahun berkata, kini semua suri rumah berjimat-cermat dan penjualan ikan di gerainya sudah kurang laris berbanding dengan masa sebelum GST dilaksanakan.
Beliau menambah bahawa harga minyak yang naik akan memberi kesan kepada harga semua jenis barangan kerana semua barangan memerlukan pengangkutan untuk membawanya dari sumber kepada pengguna.
“Saya pikir masa depan negara malap kalau ekonomi terus jatuh merudum. Kerajaan kata ekonomi negara akan mengalami penambah-baikan tetapi hingga sekarang ia masih jatuh,” kata penjual ikan tersebut.
Beberapa orang suri rumah yang diwawancara juga bersetuju bahawa negara sudah tiada hala tuju.
“Suami saya, seorang ahli usahawan berkata bahawa situasi ekonomi akan menjadi lebih teruk lagi pada awal tahun depan,” ujar puan Wong lagi.