Larangan menggunakan pembesar suara kecuali sewaktu azan di masjid dan surau yang dikeluarkan jabatan mufti Pulau Pinang wajar dicontohi negeri-negeri lain, kata ahli Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama Angkatan Muda Keadilan Pusat Wan Ji Wan Hussin.
“Ditegaskan tokoh-tokoh maqasid syariah, seperti Al-Syatibi dan al-Izz bin al-Salam, bahawa syariah diturunkan untuk memberi kebaikan kepada manusia, dan berusaha menolak sebarang kerosakan dari tertimpa kepada manusia. Ekoran itu, tiada hairan kita dapati tindakan yang mengganggu orang ramai berbentuk berbuat bising tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w.
“Laungan yang kuat yang dibenarkan dalam Islam, semestinya wujud dalam agama secara nas yang saheh dan sareh (jelas, tanpa takwilan). Ekoran itu, yang diketahui secara nas yang saheh dalam Islam, tiada laungan yang kuat dari dalam masjid sehingga kedengaran di luar masjid seperti bacaan al-Quran, syarahan agama dan sebagainya. Yang wujud hanya melaungkan azan sahaja. Ia bertujuan untuk mempamerkan syiar agama, menyeru manusia untuk menunaikan solat dan memberi tahu tentang masuknya waktu solat.
“Memandangkan Malaysia punyai masyarakat yang pelbagai bangsa dan agama, yang sudah pasti budaya saling hormat menghormati perlu disuburkan. Justeru, atas semangat dan roh maqasid syariah, sudah pasti fatwa Mufti Pulau Pinang yang melarang menggunakan pembesar suara di luar masjid pada selain azan dan iqamah adalah wajar dan perlu disokong dan didokong. Malahan, ia perlu dijadikan contoh dan tauladan di semua negeri -negeri di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Wan Ji, pihak BIPPA AMK menganggap bahawa disebalik fatwa Mufti Pulau Pinang itu, terkandung maksud mahu menyuburkan budaya saling hormat menghormati antara penganut agama dan bangsa. Budaya ini tidak sewajarnya dilihat dari sudut orang Islam sahaja, malahan amat wajar diambil tauladan sama oleh kalangan penganut agama selain Islam.
“Justeru, orang bukan Islam juga wajar turut sama tidak melakukan gangguan suara kecuali dalam perkara yang sememangnya wujud dalam agama atau budaya mereka. Jika di pihak muslim wajib meraikan pengamalan yang berbentuk bunyian yang kuat dalam agama non muslim, maka non muslim di negara ini juga wajar turut sama menghormati dan meraikan laungan azan yang dilakukan oleh pihak orang islam.
“Pihak BIPPA AMK berdoa kepada Allah yang Maha Berkuasa agar budaya saling hormat menghormati dan saling rai-meraikan antara agama dan kaum di negara ini kekal berbudaya secara sihat. Ia bagi memastikan terjamin masa depan negara dengan jayanya,” tegas beliau.