Akta Pengangkutan Jalan yang dipinda di Parlimen Disember lalu ditentang oleh banyak pihak. Dalam pindaan tersebut agensi kerajaan tertentu diberi kuasa yang meluas untuk melaksanakan saman ekor dengan menggunakan kamera perangkap had laju. Pemandu yang kenderaan dibuktikan melebihi kelajuan melalui imej rakaman wajib membayar saman walaupun alat perakam dan teknologinya masih dipertikaikan di beberapa buah negara yang memakai sistem berkenaan.
Kini timbul kebimbangan baru apabila kerajaan ingin mengutip bayaran saman ekor sejumlah RM15 juta yang tertunggak sejak beberapa tahun lalu. Kutipan itu ditangguhkan sejak bulan Ogos lalu dan akan dikutip semula pada Februari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman ekor (KASE) Datuk Mahfuz Omar meminta agar kerajaan melupuskan semua saman ekor yang dikeluarkan sebelum akta pengangkutan dipinda demi memberi keadilan kepada rakyat.
“Saya khuatir Akta Pengangkutan yang baru dipinda digazetkan ke tarikh yang lebih awal bagi mewajarkan kerajaan mengutip nilai notis saman sejumlah RM15 juta yang telah dikeluarkan.
“Bagi saya waktu saman itu keluar tidak ada peruntukan rakaman imej sebagai bukti. Alat perakam imej dan bacaan kelajuan juga bukan yang diperakui oleh mana-mana institusi seperti yang diwajibkan dalam akta. Jadi sepatutnya semua notis saman (lama) itu tidak sah,” katanya.
Mahfuz juga mendakwa akta pengangkutan yang baru dipinda itu mempunyai prosidur saman ekor yang tertentu dan berkemungkinan tidak digunakan di dalam prosidur saman ekor sebelum ini
“Timbalan Menteri jelaskan di Parlimen prosidur saman ekor perlu dipasang papan tanda wujudnya kamera perangkap had laju dalam jarak 500 meter agar kenderaan diperlahankan. Saman bertujuan mendidik rakyat bukannya memerangkap rakyat. Adakah prosidur ini digunakan sebelum ini?
“Jadi, pada saya tindakan menguatkuasakan saman yang dikeluarkan sebelum ini adalah tidak adil dan dipersoalkan,” tegasnya.