Mahkamah Tinggi menolak bantahan awal Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan saman bagi menghentikannya daripada membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud.
Peguam Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili Hadi berkata, hakim Datuk Asmabi Mohamad tidak mempunyai bahan mencukupi untuk membenarkan permohonan itu.
“Mahkamah kini mahu mendengar permohonan kami untuk membatalkan saman itu dan permohonan injunksi plaintif sebelum beliau membuat keputusan,” katanya kepada pemberita berkenaan keputusan yang dibuat di dalam kamar.
Hadi menimbulkan bantahan awal memandangkan plaintif menggunakan mod yang salah untuk memulakan tindakan.
Plaintif memfailkan saman pemula tetapi peguam Hadi sepatutnya mengemukakannya melalui semakan kehakiman.
Asmabi akan mendengar kedua-dua permohonan pada 13 Oktober.
Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin, yang memfailkan permohonan itu pada 8 Jun, memohon perisytiharan mengatakan percubaan Hadi memperkenalkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Turut termasuk sebagai defendan adalah Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee dan setiausaha Parlimen Datuk Ismail Mohamad Said.
Plaintif berkata permohonan itu berdasarkan rang undang-undang itu yang tidak mengikut Perlembagaan, di mana Hadi memohon untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk memperluaskan skop hukuman yang dikenakan oleh mahkamah Syariah.
Mereka berkata rang undang-undang persendirian itu adalah percubaan “pintu belakang” untuk mengubah Perlembagaan, memberi amaran yang rang undang-undang yang dicadangkan itu akan mempunyai implikasi lebih luas daripada sekadar Kelantan, kerana ia akan melibatkan umat Islam di seluruh negara.
“Ia dari segi teknikalnya, meminda Perlembagaan kita. Ia bukan sahaja mengenai Kelantan. Jika rang undang-undang itu diluluskan, ia akan membolehkan umat Islam di Malaysia dihukum mengikut tafsiran undang-undang syariah mereka sendiri,” kata mereka.
Empat pemohon itu juga berkeras yang percubaan Hadi memperkenalkan rang undang-undang itu melanggar dasar bersama Pakatan Rakyat seperti digariskan dalam “Buku Jingga” 2010, di mana pemimpin PAS itu turut terbabit.
Plaintif juga mahu injunksi untuk menghentikan Hadi daripada mengemukakan rang undang-undang itu dan Dewan Rakyat daripada bertindak ke atasnya sementara menunggu keputusan saman mereka.
Kerajaan PAS Kelantan pada Mac meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) untuk membuka jalan bagi negeri pantai timur itu melaksanakan undang-undang Islam yang antara lain, memperuntukan rejam sampai mati bagi kesalahan zina bagi yang sudah berkahwin, sebat antara 40 hingga 80 kali bagi yang meminum arak, dan pemotongan anggota tubuh kerana mencuri.
Bagaimanapun, pindaan kepada undang-undang persekutuan adalah perlu bagi hudud dilaksanakan di Kelantan.
Hadi menyerahkan notis untuk membentangkan usul rang undang-undang persendirian itu pada persidangan pertama tahun ini pada 18 Mac.
Walaupun disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat, ia tidak pernah didebatkan.
Hadi mengemukakan semula rang undang-undang itu sebelum permulaan mesyuarat kedua yang bermula pada Mei.
Sekali lagi, walaupun disenaraikan, rang undang-undang itu tidak dibahaskan sehingga Dewan Rakyat ditangguhkan pada 18 Jun.
Takiyuddin, yang juga setiausaha agung PAS dan ahli Parlimen Kota Baru, memberitahu pemberita beliau tidak tahu jika Hadi memfailkan rang undang-undang persendirian baharu.
Persidangan Dewan Rakyat seterusnya akan bermula 19 Oktober.