Tindakan kerajaan BN bersetuju dengan terma dan syarat dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dalam rundingan di Atlanta, Amerika Syarikat yang berakhir semalam mendapat kritikan pemimpin Pakatan Harapan.
Ahli parlimen Selayang William Leong Jee Kee berkata, kerajaan Malaysia perlu mendedahkan segala butiran isi kandungan TPPA sebelum ia ditandatangani hujung tahun ini.
“Kerajaan perlu dedahkan terlebih dahulu isi kandungan perjanjian ini kepada umum. Jangan tandatangan, kemudian bentang di Parlimen. Sekiranya hal itu berlaku maka terbukti ada perjanjian sulit dalam perkara ini.
“Dan kerajaan juga ingkar kepada janji mereka sebelum ini akan mendedahkan butiran kandungan sebelum ia ditandatangani. Kita mahu ingatkan kerajaan, TPPA ini tidak memberi apa-apa faedah kepada rakyat dan hanya menyusahkan mereka sahaja,” katanya.
TPPA adalah perjanjian perdagangan bebas multinasional yang mana Amerika Syarikat (A. S) adalah pemain utama. Selain Malaysia, negara-negara yang terlibat dalam rundingan termasuklah Australia, New Zealand, Brunei, Jepun, Vietnam, Mexico dan Kanada.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed berkata, draf perjanjian akan didedahkan kepada umum sebulan dari sekarang jika rundingan di Atlanta, A. S berakhir dengan memihak kepada Malaysia.
Tambah William, sekiranya kerajaan dan Perdana Menteri Najib Razak tidak memberitahu Parlimen tentang perjanjian itu sebelum ia ditandatangani, maka ekonomi negara ini boleh dijajah oleh Amerika.
“Ekonomi kita akan dijajah jika kerajaan dan Najib tak beritahu di Parlimen. Kita tahu majoriti menolak perjanjian ini kerana kesannya amat berat kepada ekonomi.
“Ditambah pula dengan ekonomi yang teruk, penyusutan ringgit, skandal 1MDB, dan cukai-cukai yang ada, ia akan merumitkan lagi keadaan di negara kita,” ujarnya.