Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, jaminan ekonomi akan menentukan siapa yang akan memenangi pilihan raya umum akan datang.
Berucap pada konvensyen negeri Johor di Batu Pahat 11 Oktober lalu, beliau yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, cakap-cakap mengenai kepimpinan yang bersih tidak lagi relevan sekiranya negara jatuh bankrap.
“Kemenangan pada pilihan raya akan datang bergantung kepada siapa yang boleh menawarkan masa depan ekonomi yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, pemerintahan Pakatan Harapan di Pulau Pinang membuktikan gabungan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara itu berupaya mentadbir dengan baik dan ia diharap menjadi contoh kepada pentadbiran di peringkat kebangsaan.
“Pulau Pinang adalah model bagaimana kita boleh memenangi masa depan Malaysia melalui pertumbuhan ekonomi yang inklusif, meraikan kepelbagaian, mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan pelaburan dalam pendidikan,” kata Lim.