Angkatan Muda Keadilan Malaysia membidas kenaikan kadar Tol yang diumumkan oleh syarikat konsesi melibatkan kadar mencecah hampir 80%.
Naib Ketua AMK Selangor Jestin Raj Savarimuthu berkata, perkara itu amat bercanggah dengan Manifesto Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu yang menjanjikan tiada kenaikan sekiranya rakyat memberi kepercayaan kepada BN untuk terus memerintah.
“Kenaikkan ini memberi impak yang amat besar kepada Rakyat, khususnya warga Selangor. Hal ini kerana kesemua kadar Tol dinaikkan adalah di dalam Negeri Selangor dan Lembah Klang. Sumbangan Rakyat Selangor kepada Kerajaan Persekutuan melalui cukai adalah yang terbesar dari Negeri lain.
“Kerajaan Persekutuan telah menaikkan segala perkara asas dari GST, Harga Barang, Tol dan sekarang kemerosotan nilai mata wang membuat Rakyat dalam keadaan yang parah. Kita boleh menjangka dalam Pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri pada hujung bulan ini akan memberi bantuan yang hanya sementara bagi Rakyat.
“AMK Malaysia dengan ini mengutuk kenaikan kadar Tol ini dan Rakyat akan menghukum Kerajaan Barisan Nasional pasa Pilihanraya Umum Ke-14,” katanya.