Wanita PKR bersetuju dan menyokong penuh resolusi yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat PKR pada mesyuarat khas yang diadakan dua hari lepas.
Ketuanya Zuraida Kamaruddin berkata, keutamaan pembangkang kini harus ditumpukan pada isu-isu nasional yang menjadikan Malaysia ditertawakan masyarakat antarabangsa. Misalnya, krisis 1MDB, kejatuhan ringgit dan hilang keyakinan pelabur asing.
Oleh itu, katanya, Pakatan Harapan serta parti pembangkang lain tidak wajar memainkan sentimen remeh temeh dan mencacar sesama sendiri dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke 14.
“Jika kita sayangkan negara ini, kita haruslah meletakkan (agenda menawan Putrajaya) sebagai agenda utama mengatasi agenda peribadi atau parti. Mencabar satu sama lain untuk pertandingan tiga penjuru adalah terlalu kebudak-budakan dalam suasana politik kita yang kini sudah semakin rapuh.
“Dalam proses membina dan menerajui Pakatan Harapan, menjadi harapan Wanita KEADILAN agar semua parti-parti pembangkang belajar daripada pengalaman lepas mereka untuk mencapai satu kata sepakat melalui kematangan politik. Kini, kita perlu bersatu dan bertegas untuk memenangi Putrajaya
“Oleh itu, adalah penting untuk menjaga batas dalam berkomunikasi dengan mempunyai sifat terbuka melalui perbincangan aktif dan kerap bagi merealisasikan misi perjuangan satu lawan satu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Zuraida, Wanita PKR sentiasa mengalu-alukan semua pihak untuk duduk dan berbincang tentang langkah seterusnya bagi mempertingkatkan kedudukan dan kekuatan wanita.
“Wanita sebagai penyumbang besar yang membentuk lebih daripada 50% pengundi, adalah penting untuk mengharapkan lebih ramai wanita melangkah ke hadapan bagi menuntut tanggungjawab dalam membuat keputusan yang melibatkan mereka.
“Kami menghormati komitmen yang diberikan adalah inklusif, dengan itu Wanita Keadiilan terbuka untuk melibatkan setiap parti pembangkang seperti PAS, DAP, PSM, Amanah dan semua pihak yang berminat khususnya dari Sabah dan Sarawak bagi meneruskan agenda tumbangkan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.