“Ketika ekonomi negara dilanda masalah penyusutan nilai mata wang ringgit, pihak pembangkang pula lemah. Ini amat malang sekali untuk rakyat Malaysia,” kata penyokong tegar Pakatan Harapan, seorang pemilik kedai kopi di Segambut, En Lim,74 tahun kepada wartawan Suara pakatan daily.
Kesemua 15 orang pelanggan di kedai kopi itu juga berpendapat suara pembangkang semakin perlahan dan tidak senyaring dahulu. Adakah ini kerana Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim sudah dipenjarakan, soal mereka.
Seorang pemandu teksi yang sedang bersarapan pagi di situ berkata, pihak pembangkang mesti bersuara mengenai isu kos sara hidup dan ia harus dijadikan isu utama dalam perjuangan Pakatan demi kebaikan rakyat.
“Nampaknya pembentukan Pakatan yang baru belum kukuh lagi. Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan (Amanah, PKR dan DAP) kelihatan kurang serasi. Juga amat malang kerana PAS tidak menyertai Pakatan baru ini,” kata Alan Lee, pemandu teksi berusia 63 tahun itu.
Manakala seorang akauntan bertauliah yang sudah bersara berasa kecewa kerana pihak pembangkang belum lagi mempunyai halataju yang jelas.
Beliau berkata kalau Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan pada tahun hadapan, kemungkinan BN akan menang lagi kerana parti komponen Pakatan kurang bersepakat.
Lapan daripada 15 orang yang ditemu bual berasa kurang yakin Pakatan akan menang PRU14 tanpa PAS. Dicantara sebab-sebab yang diberi ialah PAS mempunyai sokongan yang masih kukuh di kawasan kampung terutamanya di negeri Kelantan dan Terengganu.