Pakatan Harapan semakin mantap apabila berjaya menganjurkan mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Harapan yang dianggotai oleh Setiausaha Agung dari setiap parti hari ini.
Mesyuarat yang diadakan buat pertama kali di ibu pejabat PKR itu dihadiri oleh Rafizi Ramli, Setiausaha Agung KEADILAN; Loke Siew Fook Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Haji Mohd Anuar Tahir Setiausaha Agung AMANAH, menurut satu kenyataan media yang diemel kepada Suara pakatan daily.
Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat seumpama itu adalah menyambung tradisi amalan Pakatan Rakyat sebelum ini; bahawa pentadbiran dan perjalanan harian Pakatan Harapan diuruskan melalui sebuah Majlis Setiausaha.
Kenyataan itu juga menyebut, Mesyuarat Majlis Presiden yang pertama akan dilakukan pada hari Isnin 19 Oktober 2015 jam 11.30 pagi di Parlimen sebelum perikatan baharu itu secara rasminya merancang aktiviti politik secara bersama.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan adalah badan tertinggi yang dianggotai oleh pimpinan tertinggi dari setiap parti yang menentukan dasar dan hala tuju Pakatan Harapan.
“Mesyuarat pada hari ini membincangkan perkara-perkara yang akan diangkat dalam mesyuarat Majlis Presiden pada hari Isnin 19 Oktober 2015.
“Penubuhan dan pelancaran Pakatan Harapan di setiap negeri. Jadual Jelajah Pakatan Harapan yang bertemakan #bebasrakyat #bebasAnwar akan dimuktamadkan dan diangkat untuk kelulusan Majlis Presiden minggu depan.
“Persediaan awal ke arah merangka satu Perjanjian Pakatan (Coalition Agreement) dan Dasar Bersama (Common Policy Framework) yang bakal ditandatangani ketiga-tiga parti,” kata kenyataan bersama itu.