Kecelaruan kepimpinan menyebabkan ramai pemimpin Umno dan parti-parti komponen BN bukan sahaja hilang kepercayaan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, bahkan terhadap masa depan Umno dan BN sendiri, kata presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut beliau, persepsi wujudnya tangan eksekutif yang menghalang ketelusan dalam siasatan skandal kewangan 1MDB semakin menghakis keyakinan terhadap Perdana Menteri dan Umno. Sehubungan itu, katanya, tidak mustahil pemimpin Umno dan lain-lain parti akan menyertai PKR pada masa hadapan menerusi dasar ‘buka pintu’ parti berkenaan.
“Pada hari ini, kami berasa gembira dan mengalu-alukan penyertaan Dato’ Saifuddin Abdullah ke dalam keluarga besar KEADILAN. Penyertaan beliau sudah tentu akan memperkukuhkan usaha KEADILAN untuk menggembleng perpaduan dan kekuatan rakyat demi perubahan dan pembaharuan.
“Dato’ Saifuddin adalah mantan Timbalan Menteri Pengajian tinggi. Beliau bersikap sederhana, terbuka dan konsisten mengungkap pendirian yang mesra pembaharuan.
“Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of the Moderates beliau mempunyai jaringan yang kuat dengan NGO. Jaringan tersebut meliputi pelajar dan generasi muda kerana penglibatan beliau yang meluas dan lama dalam pergerakan pelajar dan belia.
“Saya yakin beliau akan menguatkan kedudukan KEADILAN dan Pakatan Harapan dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat,” kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan.
Tambah Dr Wan Azizah lagi, penyertaan Saifuddin amat bersesuaian dengan strategi KEADILAN yang memberi fokus kepada isu-isu khusus masyarakat Melayu/Bumiputra.
“Saya bersyukur dengan kehadiran Dato’ Saifuddin Abdullah yang akan dapat bersama-sama mendepani isu-isu Melayu/Bumiputra ini dengan pimpinan KEADILAN yang lain.
“Saya juga yakin beliau akan dapat memainkan peranan strategik di dalam Pakatan Harapan untuk memastikan gabungan baru ini menumpukan kepada gagasan idea baru untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
“Doa saya supaya beliau terus diberi kekuatan dan dilindungi Allah SWT dalam memperjuangkan nasib dan membela hak rakyat,” katanya..