Datuk Saifuddin Abdullah membidas kembali kenyataan “sampah” Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengatakan kenyataan ekstrem sedemikian menyebabkan ramai pemimpin meninggalkan parti Melayu itu.
“Saya percaya jika beliau dan pemimpin Umno lain menggunakan hujah sedemikian, lebih ramai yang akan memahami mengapa saya meninggalkan Umno.
“Jadi, sebenarnya, Tengku Adnan membantu saya. Secara tidak langsung, beliau menjelaskan mengapa saya meninggalkan Umno,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider hari ini.
Sebaik sahaja Saifuddin menyertai PKR, Tengku Adnan menyifatkan bekas ahli Parlimen Temerloh itu tidak memberi kesan kepada Umno memandangkan beliau kalah di Temerloh pada pilihan raya lepas.
Tengku Adnan turut mengatakan PKR dialu-alukan menerima pemimpin Umno yang bermasalah itu.
“Saifuddin sudah bersama Umno dan jadi ahli Parlimen Temerloh. Kami letakkan dia bertanding dan dia gagal menang. Beliau mesti mempunyai masalah.
“Umno tidak terkesan tindakan beliau (Saifuddin) tinggalkan parti. Moga Tuhan rahmati beliau dan PKR,” sindir Tengku Adnan.
Saifuddin bagaimanapun tidak terkejut dengan tindakan Tengku Adnan memberi reaksi sedemikian rupa selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penyertaannya ke dalam PKR.
Saifuddin turut memberitahu reaksi cybertroopers Umno dengan pantas menafikan berita kemasukan beliau dan berkata PKR berbohong.
“Saya rasa itu tindakan terdesak cybertroopers sebagai benteng pertahanan pertama mereka hanya mencari kesalahan,” katanya.
Ada juga katanya reaksi positif ahli Umno yang memberikan galakan memahami tindakan beliau keluar parti.
Saifuddin juga menyedari apabila dilabel hipokrit dan membangkitkan posting beliau di Twitter pada 2012 yang berkata tidak meninggalkan Umno malah menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun katanya, selepas apa yang berlaku beliau menimbangkan meninggalkan Umno.
Saifuddin mengulangi pendiriannya Putrajaya dan Umno gagal menyelesaikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6bilion dalam akaun peribadi Najib.