Setiausaha Agung Amanah Hj Mohd Annuar Tahir mengutuk tindakan tidak bertamadun penggodam yang menggodam nombor telefon pemimpin Amanah.
Menurutnya, beliau menerima laporan beberapa nombor milik setiausaha-setiausaha AMANAH di peringkat negeri telah digodam dan digunakan untuk menghantar mesej palsu berkaitan keahlian dan penghinaan kepada pihak tertentu.
“Setakat ini, ia melibatkan nombor telefon setiausaha AMANAH Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Perlis, Pahang dan Kelantan. Kesemua mereka hanya mengetahui hal ini selepas mendapat mesej balas dari penerima yang menghubungi mereka.
“Bagi pihak Parti Amanah Negara, saya ingin menyatakan kekesalan terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang telah menggunakan taktik politik kotor.
“Kami tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan ini sebagai cubaan mengganggu dan menyekat gelombang penyertaan rakyat ke dalam parti AMANAH yang semakin pesat waktu ini khususnya di peringkat kawasan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Suara pakatan daily.
Malaysiakini melaporkan Annuar berkata, mesej daripada nombor yang digodam itu dihantar kepada ahli Pas dan boleh menimbulkan pertelagahan.
Menurut beliau lagi, kes seumpama itu bukan pertama kali berlaku. Walaupun begitu, kata Annuar, tindakan seperti itu tidak akan mematahkan semangat Amanah untuk menambah keanggotaan parti.
“Saya ingin menegaskan bahawa, walau apa cara sekalipun digunakan untuk menyekat usaha kami, ia sama sekali tidak akan mematahkan semangat para petugas parti AMANAH untuk terus mendampingi rakyat.
“Kepada ahli dan orang ramai, khususnya penerima mesej palsu itu, saya mengharapkan anda bersabar dan tidak mudah keliru dengan permainan politik jijik ini.
“Pasukan teknikal AMANAH sedang menyiasat kes ini dan mereka yang nombornya terlibat digodam, dinasihatkan membuat laporan polis,” tambah beliau.