Kegagalan kerajaan membayar balik keuntungan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada peniaga mengikut tempoh masa yang dijanjikan adalah satu kepincangan besar yang tidak boleh dipandang rendah.
Menurut Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, setelah 6 bulan GST dilaksanakan, kerajaan masih belum dapat menguruskan sistem GST ini dengan baik dan yang menjadi mangsa adalah peniaga dan rakyat yang lewat menerima bayaran balik.
Tegasnya lagi, alasan yang diberikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong bahawa pembayaran lewat ini adalah perkara biasa tidak boleh diterima, kerana rakyat telah membayar cukai tersebut tepat pada masanya sejak ia dilaksanakan April lalu
“Kelewatan bayaran balik ini telah ditimbukkan sebelum ini oleh pelbagai pihak, baik peniaga sendiri atau dewan-dewan perniagaan. Kerajaan sendiri telah sahkan bahawa mereka memang lewat membayar balik GST kepada peniaga.
“Saya juga berpendapat adalah adil sekiranya kerajaan membayar keuntungan (faedah) di atas jumlah cukai GST yang lewat dibayar balik kepada peniaga dan rakyat sebagai timbal balik kepada kos peniaga dan rakyat yang terpaksa menanggung kos tambahan untuk menampung gangguan kepada aliran tunai akibat dari kelewatan kerajaan membayar balik GST selama ini,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Tambah Rafizi, semalam, Chua Tee Yong semasa menjawab soalan lisan telah mengesahkan bahawa sejak GST dilaksanakan, hanya 41% dari bayaran balik GST (“GST refund”) yang dibuat mengikut undang-undang iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh borang GST (“GST return”) difailkan.
” Ini bermakna 59% dari bayaran balik GST setakat ini tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri. 59% dari peniaga lewat menerima bayaran balik GST yang membawa kesan kepada aliran tunai (“cashflow”) peniaga. Apabila aliran tunai peniaga terjejas, ini meningkatkan kos perniagaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
“Oleh yang demikian, saya menyeru supaya kerajaan berlaku adil kepada peniaga dan rakyat dengan menghentikan serta-merta sistem cukai GST ini sehinggalah segala masalah yang dihadapi oleh pihak berkuasa yang menyebabkan kelewatan bayaran balik GST dapat diselesaikan.
“Hanya apabila kerajaan dapat membayar balik GST kepada peniaga dan rakyat tepat pada masanya barulah adil rakyat membayar GST tepat pada masanya seperti yang diperuntukkan undang-undang,”ujarnya.