Tindakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Ariffin yang ingin menyiasat ahlinya, Tony Pua diselar ramai pihak.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Hasan sepatutnya menyelesaikan dan menyiasat orang-orang yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau juga mendakwa tindakan menyiasat Tony Pua itu sebagai satu cara untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap siasatan 1MDB.
“Saya tak faham dalam kenyataan pertama dia (Hasan) sebagai Pengerusi PAC, dia tumpukan kedudukan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebagai ahli PAC.
“Kita minta PAC siasat 1MDB, siasat Jho Low, dan orang-orang yang terlibat dalam skandal 1MDB tetapi mengapa pula dia nak siasat Tony Pua. Ini menunjukkan ‘ada udang disebalik batu’,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kenyataan Hasan itu menunjukkan suatu permulaan yang buruk dalam siasatan PAC.
“Kenyataan-kenyataan itu tak berasas dan mengarut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut mempersoalkan tindakan Hasan membincangkan kedudukan Tony Pua.
Kit Siang mendakwa terdapat individu dalam Umno yang mahu Tony Pua disingkirkan.
“Kenapa dia (Hasan) kata kena bincang kedudukan Tony Pua dalam mesyuarat yang pertama?
“Itu tak patut kerana kita tahu ada orang dalam UMNO yang mahu Tony Pua disingkirkan,” katanya.