Ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli menegaskan kaedah Cukai Barangan dan Perkhidmatan ‘berkadar sifar’ yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan dalam Bajet Alternatif mereka boleh dilakukan kerajaan BN.
Katanya, kaedah itu juga tidak akan membebankan golongan peniaga yang telah membeli sistem perakaunan GST.
Menurut beliau, terdapat dua cara kerajaan boleh membatalkan GST. Namun cara terbaik adalah mengenakan kadar sifar.
“Kerajaan (boleh) membatalkan akta GST (repeal the act). Jika ini berlaku semua sistem perakaunan, latihan, perbelanjaan mematuhi syarat GST yang telah dibelanjakan oleh syarikat dan kerajaan akan (mengalami) kerugian
“Dianggarkan pihak syarikat dan kerajaan telah membelanjakan sehingga RM5 bilion untuk ‘compliance cost’ ini. Jika Pakatan Harapan membatalkan akta GST itu, (ianya) nampak tidak cerdik kerana perbelanjaan RM5 bilion akan sia-sia
“Cara kedua ialah dengan mengekalkan semua sistem perakaunan dan lain-lain (yang sedia ada) tetapi kadar GST dijadikan sifar.
“Bila kadar GST sifar, maka samalah seperti rakyat tidak membayar GST. Tapi syarikat boleh terus menggunakan sistem perakaunan GST,” katanya dalam pesanan whatsapp kepada wartawan.