“Kerajaan cakap banyak saja. Kalau mereka benar-benar nak bantu rakyat, turunkanlah kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan dari 6% ke 3% atau hapuskan terus cukai itu,” kata seorang pekerja kilang Robert Teh, di Taman Kepong Industrial Park.
Beliau dan tiga orang lagi rakan setugas yang ditemubual oleh wartawan Suara Pakatan Daily berkata kos sara hidup yang naik mendadak sejak 1 Oktober lalu berikutan penurunan nilai ringgit dan GST sudah sampai pada tahap menjerut leher rakyat.
Namun demikian, menurut mereka, kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membantu. Mereka juga berpendapat pemberian BR1M walaupun dinaikkan, tidak akan banyak membantu apabila barang runcit, barang makanan serta barangan dapur naik harga setiap 10 hari sekali.
Mereka juga berpendapat kerajaan mungkin tidak tahu lebih banyak lagi kilang kecil (kurang dari 50 perkerja) akan tutup pada hujung tahun 2015 kerana kos operasi terlalu tinggi.
Empat orang pekerja sektor industri itu langsung tidak yakin Najib dan pentadbirannya boleh memperbaiki keadaan walaupun menawarkan pelbagai langkah mengurangkan beban rakyat dalam Bajet 2016.
“Memang ekonomi dunia bermasalah tetapi para pemimpin kita pula kelihatan ketandusan idea yang bernas bagaimana hendak membantu rakyat.
“Sehingga kini tiada langkah ketara yang diambil menurunkan kos sara hidup dan menghentikan kenaikan harga barang. Malah harga minyak dan kadar tol baru sahaja dinaikkan. Inikah contoh sebuah kerajaan yang berprihatin?” soal Robert secara sinis.