Kos keseluruhan perjalanan melibatkan jet peribadi baharu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Airbus ACJ320, dianggarkan sebanyak RM40.8 juta bagi tempoh 6 bulan sejak dibeli pada April lalu, dakwa PKR hari ini.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, anggaran kos itu meliputi kos sewa jet, kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) serta kos perjalanan ke luar negara perdana menteri.
“Kalau jumlah ini tidak betul, maka saya mengalu-alukan menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menerangkan dan memberi jawapan betul,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Menerangkan dengan lebih terperinci mengenai kos anggaran perjalanan jet peribadi tersebut, Rafizi berkata ia meliputi bayaran sewa bagi tempoh 6 bulan sebanyak RM13.3 juta.
“Kos bagi OMM sebulan ialah RM3.833 juta, jadi kos bagi tempoh 6 bulan ialah RM23 juta.
“Dan kos perjalanan luar negara perdana menteri, berdasarkan purata tahunan, dianggarkan RM4.5 juta bagi tempoh setengah tahun,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, isu mengenai kos perjalanan jet peribadi itu timbul apabila ia tidak didedahkan dalam jawapan lisan Parlimen seperti yang dimintanya.
Menurut Rafizi, dalam jawapan lisan itu, menteri bertanggungjawab Datuk Seri Azalina Othman Said hanya menyatakan sebanyak 42 penerbangan dilaksanakan melibatkan Agong, Permaisuri Agong, perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
Dalam soalannya, Rafizi meminta Putrajaya menyatakan senarai setiap perjalanan jet tersebut sejak mula perkhidmatan pada 31 Oktober 2014.
Beliau yang membidas tindakan tersebut berkata, kengganan perdana menteri mendedahkan butiran perjalanan menunjukkan beliau tahu maklumat tersebut akan menimbulkan kemarahan rakyat.
“Kerajaan enggan mendedahkan maklumat berkepentingan awam, (sedangkan) melibatkan dana rakyat,” katanya.
Mac lalu, Rafizi mendedahkan Putrajaya membeli jet jenis Airbus Corporate Jetliner itu sebagai tambahan kepada 5 pesawat rasmi sedia ada.
Pembelian tersebut dikritik hebat kerana dilakukan ketika kerajaan pada masa sama menarik kembali subsidi yang diberikan kepada rakyat.