Tekad untuk tidak membentangkan belanjawan tambahan bagi 2015 telah berjaya dicapai, kata Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.
Katanya ia bukti bahawa Belanjawan 2015 adalah realistik berasaskan anggaran bertanggungjawab dan berdisiplin.
“Alhamdulillah, dengan sukacitanya saya ingin memaklumkan kepada Dewan ini, belanjawan defisit 2015 yang berjumlah RM 452.5 juta telah bertukar menjadi belanjawan surplus.
“Ini adalah kerana hasil negeri yang dianggarkan pada tahun 2015 berjumlah RM1.97 bilion telah melonjak kepada RM 2.05 bilion berbanding perbelanjaan sebenar RM 1.50 bilion sehingga 30 September 2015.
“Kedudukan belanjawan kini adalah surplus sebanyak RM 552.58 juta,” kata Azmin dalam ucapan belanjawan negeri Selangor 2016.
Pentadbiran Shah Alam, katanya, mempertahankan disiplin fiskal & mengamalkan pengurusan kewangan berhemah.
Mengenai prestasi kewangan kerajaan negeri Selangor, beliau berkata, lebihan terkumpul akaun disatukan ialah RM1.87 bilion, manakala lebihan semasa kerajaan negeri ialah RM552.58 juta.
Jumlah wang awam pula meningkat dari RM3.2 bilion pada 2014 kepada RM3.6 bilion pada 2015.
Menurut Azmin, Bajet negeri Selangor 2016 berjumlah RM2.88 bilion – 50 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan 50 peratus lagi untuk perbelanjaan pembangunan.
Katanya anggaran kutipan hasil negeri Selangor pada 2016 ialah berjumlah RM2.25 bilion.