Tindakan PAS mengkritik ahli-ahli Parlimen dari pihak pembangkang yang menayangkan plakad ‘Mana RM2.6 bilion’ telah mengundang persepsi buruk terhadap PAS.
Penyokong pembangkang yang ditemubual wartawan Suara pakatan daily rata-rata berpendapat PAS telah mengubah hala tuju politik mereka.
“Adakah PAS masih menyokong Pakatan pembangkang atau lebih berpihak kepada BN? Buat masa ini, pendirian PAS nampaknya tidak berapa stabil,” kata seorang penyokong PAS dari Ampang berusia 70 tahun. Pakcik Hasan yang menjadi pemandu teksi di KL berkata demikian kerana beliau merasa pendirian PAS semakin terumbang-ambing sejak musnahnya Pakatan Rakyat Jun lalu.
“Satu masa mereka kata akan bekerjasama dengan Pakatan dan pada masa yang lain mereka kata akan bekerjasama dengan BN. Mana boleh kerjasama dengan kedua-dua BN dan Pakatan” kata Hasan lagi.
Kebanyakan penyokong pembangkang berpendapat sekiranya pendirian PAS tidak teguh, maka pembangkang akan menjadi lemah. Selain itu, serangan terhadap BN tidak akan mempunyai kekuatan yang ampuh daripada kesemua parti pembangkang.
“Adalah sangat menyedihkan apabila PAS berkelakuan begini. Jika PAS terus mengkritik Pakatan Harapan, maka bermakna PAS berpihak kepada BN.
“Tidak berbaloi jika PAS hendak bersendirian. Pada masa PAS bersendirian seperti pada tahun-tahun 1980an, adakah PAS memenangi kerusi yang banyak seperti pada pilihan raya umum 2008 dan tahun 2013?” tanya Peter Chong, seorang penyokong PKR yang bekerja di sebuah pasaraya di Wangsa Maju.
Beliau yang berusia 62 tahun berkata pembangkang hanya akan kuat jika bersatu dan PAS memerlukan Pakatan seperti juga Pakatan memerlukan PAS.
Seorang suri rumah dari Kepong, penyokong tegar DAP berkata, walaupun PAS tidak suka kepada DAP parti itu harus sertai Pakatan Harapan kerana perikatan itu terdiri daripada PKR dan Amanah selain DAP.
“Atau mungkin PAS juga tidak berapa sukakan PKR dan Amanah,” ujar Pauline Tan sinis.