Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) menang besar dalam pilihan raya umum (PRU) Turki semalam. AKP pimpinan presiden Recep Tayyib Erdogan mendapat kira-kira 53 peratus undi popular dan membolehkannya membentuk kerajaan Turki baharu.
Pilihan raya umum kedua terpaksa diadakan selepas AKP, blok kuasa terbesar dalam parlimen gagal membentuk kerajaan selepas hanya mendapat 40 – 43 peratus undi popular dalam PRU Jun lalu. Usaha membentuk kerajaan campuran selepas itu turut gagal
Namun dengan memperolehi undi popular melebihi 50 peratus, AKP akan menguasai lebih daripada mencukupi kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan. AKP akan memperolehi 316 kerusi; Republican People’s Party (CHP) 134 kerusi; People’s Democratic Party (HDP) 59 dan Nationalist Movement Party (MHP) 41.
AKP hanya memerlukan 276 kerusi minimum untuk membentuk kerajaan secara majoriti mudah. Kemenangan ini dirayakan oleh penyokong AKP di seluruh Turki. Manakala Perdana Menteri Turki dari AKP Ahmet Davutoglu berkata keputusan itu adalah ‘kemenangan bagi demokrasi dan penduduk Turki keseluruhan’
AKP pimpinan Erdogan telah memerintah Turki lebih tiga penggal dan memperkenalkan pentadbiran Islam sederhana di tengah-tengah cengkaman perlembagaan sekular Turki.
AKP mula memerintah sejak awal 2000. Parti itu merupakan pecahan parti Islam konservatif Refah yang mahu memperkenalkan hukum Islam sebagaimana Pas di Malaysia. Puak progresif diketuai Erdogan meninggalkan Refah pada 2001 dan menubuhkan AKP . Parti itu berjaya memenangi PRU Turki pada 2002.
Parti Refah bubar dan ulama konservatif menubuhkan parti Saadet yang tidak berjaya meraih kepercayaan rakyat Turki. Sehingga ke hari ini Erdogan dan AKP terus dikecam puak konservatif.
Peristiwa yang hampir sama juga berlaku di Malaysia pada 2015 apabila Parti Amanah Negara ditubuhkan oleh puak progresif Pas. Bendera Amanah juga sama warna dengan AKP, iaitu oren.
Berkemungkinan besar dalam PRU 14 Amanah juga akan mengulangi sejarah AKP dan menjadi parti pemerintah Malaysia. Pas dianggap akan mengulangi nasib Saadet dan tidak penting dalam politik nasional pada dekad akan datang.