Pengumuman kerajaan BN bahawa tambang keretapi komuter, LRT dan monorel akan dinaikkan mulai bulan Disember ini merupakan berita malapetaka kepada warga miskin dan berpendapatan rendah.
Dalam masa sama rakyat tertanya-tanya, harga minyak mentah di pasaran dunia turun di bawah AS$50 setong tetapi mengapakah harga runcit minyak dalam negara tidak diturunkan 5 sen seliter untuk bulan November?
Tinjauan rambang Suara pakatan daily ke atas rakyat biasa mendapati mereka amat tertekan menghadapi siri kepungan kenaikan harga yang tidak terkawal tetapi direstui kerajaan BN.
Ramasamy, seorang penulis yang akan merayakan Deepavali dalam bulan ini kecewa kerana harga minyak yang kekal tinggi sedangkan beliau perlu menziarahi ramai saudara-mara semasa perayaan nanti.
Seorang penjual alat ganti kereta, Christopher Wong, 43 tahun yang banyak menggunakan lebuhraya, juga merungut bahawa kerajaan amat sukar menurunkan kos sara hidup dan mengamalkan prinsip “rakyat terus dibebankan, bukan didahulukan”.
Beliau berkata kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah semakin susah sejak pilihan raya umum 2013 lalu.
“Sudah tiba masa untuk rakyat memberi peluang kepada Pakatan menerajui kerajaan pusat.
“Kalau Pakatan juga menyusahkan rakyat, kita boleh tukar balik kepada BN tetapi saya yakin kita perlu beri Pakatan sekurang-kurangnya sepuluh tahun pemerintahan dan tengok macam mana,” kata Christopher.
“Semua kenaikan harga hanya jelas membuktikan bahawa kantung negara sudah amat parah atau pun sudah hampir kosong.
“Kalau sihat, mengapakah kerajaan perlu mengaut wang rakyat seperti penyeluk saku?” kata beberapa orang suri rumah di pasar pagi waktu mereka membeli sayur.
Tiada jalan penyelesaian sementara atau berjangka pendek untuk krisis kenaikan harga di negara ini. Jawapan mudah ialah cuba menukar BN dalam pilihan raya umum namun pilihan raya pula masih lama, sekitar 2018!