Bajet 2016 sepatutnya dibentangkan dengan diiringi pengecilan jumlah anggota jemaah menteri, kata ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Menurutnya, pengurangan itu sangat penting kerana jumlah anggota kabinet kerajaan Malaysia terlalu besar jika dinisbahkan dengan jumlah penduduk yang hanya berjumlah 30 juta berbanding negara negara maju lain.
“Persoalannya, apakah negara Malaysia memerlukan sejumlah 35 orang Menteri untuk menguruskan negara yang rakyatnya tidak melebihi 30 juta penduduk?
“Berbanding Jepun hanya 16 Menteri untuk rakyatnya 127 juta; Amerika Syarikat 18 Menteri untuk rakyatnya 313 juta penduduk; United Kingdom dengan hanya 25 orang Menteri dengan rakyatnya 63 juta penduduk; manakala India dengan memiliki penduduk 1.2 bilion hanya mempunyai 32 Menteri. Sedangkan Malaysia dengan rakyat tidak melebihi 30 juta mempunyai 35 orang Menteri Kabinet dan 27 Timbalan Menteri.
“Jadi kenapa Malaysia perlu berbelanja mewah untuk menanggung 35 orang Menteri dan 27 Timbalan Menteri dengan mengguna wang pembayar cukai termasuk pembayar cukai GST.
“Wang pembayar cukai disalahguna untuk menyuap mulut dan mengembung perut Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri sedangkan mereka gagal meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz menempelak kerajaan BN mempunyai dua Menteri Kewangan dan 10 orang Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga menyarankan agar Najib mencontohi negara maju dengan saiz kabinet yang kecil dan jumlah menteri yang sedikit tetapi mampu melonjak pencapaian negara mereka.
“Sebaliknya Malaysia dengan jumlah 35 orang Menteri dan 27 Timbalan Menteri sekadar berjaya mencari dan menambah pendapatan negara melalui GST ke atas rakyat serta melonjakkan pencapaian dengan satu demi satu skandal-skandal besar negara.
“Saya menuntut pengurangankan saiz kabinet dan mengurangkan jumlah Menteri dari 35 orang kepada minimumnya 15 dan tidak melebihi 19 orang.
“PM juga tidak wajar lagi memegang Menteri Kewangan. Buang Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak berkualiti dan berintegriti.
“Pengecilan saiz kabinet dan jumlah Menteri ialah untuk mengurangkan perbelanjaan negara, apatah lagi pada waktu rakyak sedang menanggung beban sara hidup yang tinggi akibat daripada GST dan kenaikan harga minyak. Pengurangan perbelanjaan ini boleh diguna untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya lagi.