Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengingatkan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum agar jangan menggunakan wang Yayasan Pembanguan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk menyaman pengarah NOW.
Ketua AMK, Nik Nazmi Ahmad mengingatkan Jamil agar sebarang tindakan undang-undang yang beliau hendak ambil haruslah dilakukan atas kapasiti dan wangnya sendiri, dan tidak melibatkan wang zakat sepertimana yang berlaku pada tahun 2011 apabila beliau dan dua pegawai MAIWP didapati menggunakan RM63,650 untuk membiayai kos guaman mereka di dalam kes permohonan qazaf Anwar Ibrahim.
“Wang zakat, seperti wang kebajikan juga, merupakan wang yang diamanahkan untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf atau golongan yang telah ditetapkan, bukannya untuk kegunaan sang Menteri,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataannya.
Jamil Khir telah mengulasngi hasratnya untuk menyaman Akmal Nasir, Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW) yang turut merupakan Pengarah Strategi AMK ekoran keengganannya menarik balik dakwaan ke atas beliau dan memohon maaf.
Mengikut laporan media, Jamil buat kali keduanya telah menetapkan syarat agar Akmal memohon maaf di atas pendedahan itu, jika tidak mahu disaman.
Akmal sendiri telah menyatakan dengan tegas bahawa beliau tidak akan berbuat sedemikian kerana yakin penuh dengan bukti-bukti yang telah dibentangkan – yang mana menteri sendiri tidak menafikan, tetapi hanya memberikan alasan-alasan lemah untuk mewajarkan penggunaan.
Nik Nazmi dalam kenyataannya juga meminta penyokong-penyokong Jamil seperti Datuk Azalina Osman Said dan laman MyKMU berhenti memainkan sentimen perkauman dan agama dalam kes salahguna seperti ini.
“Jika Akmal tidak betul, buktikan beliau tidak betul, bukan dengan membakar lagi api perkauman,” kata Nik Nazmi.