DAP hari ini mempersoalkan rasional di sebalik tindakan Putrajaya membayar gaji yang lebih tinggi kepada penasihat khas kerajaan, berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, dalam bajet terkini di bawah Jabatan Perdana Menteri, gaji Penasihat Khas Hal Ehwal Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melebihi RM27,000 sebulan.
Begitu juga gaji Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan di Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Ini lebih tinggi daripada pendapatan Najib RM22,826 sebulan, kata Liew.
“Mengapa gaji mereka lebih tinggi daripada PM?” soalnya.
Duta Khas ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S Samy Vellu juga menerima RM27,000 sebulan, kata Liew.
Pengarah pendidikan politik DAP itu juga meminta Putrajaya mendedahkan jika ia melanjutkan kontrak sementara beberapa duta dan perwakilan khas itu.
“Kontrak Samy Vellu sampai Disember 2014. Adakah ia akan dilanjutkan?,” soal Liew.
Beliau juga bertanya jika kontrak bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting dan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing sebagai utusan khas dilanjutkan, kerana mereka sepatutnya tamat baru-baru ini tetapi peruntukan untuk mereka masih tersenarai dalam bajet Jabatan Perdana Menteri.
Ong merupakan utusan khas perdana menteri ke China manakala Tiong utusan khas bertaraf menteri ke Asia Timur