Naib Presiden PAS Datuk Mhafuz Omar menolak PAS mencontohi gerakan Fatah dan Hamas di Palestin yang bersatu baru-baru ini sebagai model untuk PAS bersatu dengan Umno sebagaimana yang dipancing oleh penulis pro-Umno di beberapa blog dan media arus perdana.
“Hamas dan Fatah boleh bersatu kenapa tidak PAS dan Umno, kata mereka. Mereka lupa Fatah- Hamas bersatu menentang penjajah Yahudi di negara kita penjajah itu adalah Umno. Jadi bagaimana kita boleh bersatu dengan Umno,” katanya dalan ceramah khas di Dewan Fadhil Noor, Taman Melewar malam tadi.
Mahfuz juga membidas akhbar-akhbar arus perdana dimiliki BN yang cuba memecah-belahkan kepimpinan PAS dengan mewujudkan pelbagai syak-wasangka
“Utusan kata PAS tidak lagi perjuangkan negara Islam, perjuang negara kebajikan pula. The Star kata PAS konsisten dengan Negara Islam. Nak pakai yang mana? Sebenarnya pemimpin Umno semakin takut dengan kita, mereka kucar-kacir kerana semua perancangan mereka gagal.
“Azam kita dalam muktamar ini cuma satu, iaitu ingin memasukkan Umno ke dalam Muzium Negara selepas pilihanraya ke-13 nanti,” ucap Mahfuz disambut laungan takbir oleh kira-kira 10,000 hadirin.
Seorang lagi Naib Presiden Datuk Husam Musa juga mengecam media pro Umno kerana mengelirukan rakyat bahawa PAS tidak lagi memperjuangkan Negara Islam
“Berita Harian kata PAS tidak lagi memperjuangkan Negara Islam, tetapi dalam al Quran banyak menyebut tentang negara kebajikan. Khalifah dalam sejarah Islam mengutamakan kebajikan rakyat. Misalnya Khalifah Umar al Khattab mengarahkan Baitulmal menyediakan dana untuk menggajikan pembantu bagi orang yang kudung tangan mengambil wuduk, pembantu untuk orang yang buta memimpin berjalan. Zaman Umar juga beliau mengarahkan pembinaan 40,000 rumah untuk rakyat
“Suratkhabar cuba kelirukan kononnya kita lari dari perjuangan Islam. Utusan juga buat liputan kononnya pertandingan dalam PAS sengit sehingga timbul perpecahan ulama dan bukan ulama.
“Tidak wujud istilah ulama dan bukan ulama dalam PAS, saya anak didik PAS selama 30 tahun tentunya telah mencapai tahap yang meyakinkan dalam perjuangan ini. Begitu juga dengan Mahfuz, Salahudin dan Mat Sabu,” katanya.
Beliau menganggap Umno-BN sengaja mengalihkan isu dengan menggembar-gemburkan perpecahan dalam parti saingan.
“Isu utama ialah kegagalan kerajaan BN dalam memerintah. Harga minyak naik, gula naik, diesel naik. Sedangkan kita negara pengeluar minyak yang ke-27 di dunia, Mesir ke-28. Di Mesir minyak RM1 seliter, kita negara paling mahal minyak di kalangan negara pengeluar.
“Baru-baru ini Najib himpunkan belia di Putrajaya tetapi yang banyak hadir budak-budak sekolah. Dia berucap minta budak-budak pertahan Putrajaya. Maknanya Presiden Umno sendiri tahu Putrajaya bakal jatuh. Jadi kita menyeru agar ahli Umno hijrahlah cepat, jangan tunggu lagi dalam rumah yang hampir roboh, jangan tungguh roboh baru hendak lagri,” sindirnya.