Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai “pembuli besar” susulan serangan tidak henti-henti gabungan pemerintah terhadap Nurul Izzah Anwar selepas pertemuannya dengan wakil Sulu, Jacel Kiram di Filipina, baru-baru ini.
Azmin berkata, ahli Parlimen Lembah Pantai itu dan Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang, sudah memberikan penjelasan mereka tidak mengatur pertemuan seumpama itu, dan Jacel dijemput oleh tuan rumah, iaitu pejabat naib presiden Filipina.
“Tiada bukti dikemukakan oleh kerajaan untuk menyangkal penjelasan itu,” katanya yang juga menteri besar Selangor.
“Di sebalik semua ini, pemimpin tinggi kerajaan dan polis terus mengata Nurul Izzah, termasuk membuat tuduhan liar tingkah laku pengkhianatan. Serangan berunsurkan politik ini memalukan dan pengecut,” katanya.
Beliau berkata, langkah terkini wakil rakyat BN untuk mengambil tindakan menghukum terhadap Nurul Izzah menerusi Parlimen tidak demokratik dan salah guna proses Parlimen.
“Jika dilihat, ia hanya kezaliman majoriti, sekali lagi ditunjukkan BN sebagai pembuli,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan bercakap dengan Chua selepas mengambil keterangan Nurul Izzah.
“Kita tahu dia juga ada di sana bersama Nurul Izzah di Filipina tetapi sama ada beliau juga bertemu Jacel atau tidak, kita akan tanya dia,” kata Khalid kepada wartawan di Ipoh, hari ini.
Nurul Izzah dikritik teruk kerana merakamkan gambar bersama Jacel, iaitu anak perempuan Sultan Jamalul Kiram III yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, yang juga dalang pencerobohan Lahad Datu pada 2013 yang menyebabkan ramai anggota keselamatan Malaysia maut.
Khalid berkata Jacel ialah jurucakap untuk pasukan keselamatan diraja Sulu dan juga jurucakap ketika insiden Lahad Datu.
“Kita mahu tahu kenapa dia (Nurul Izzah) ada di sana kerana saya perlu beri penjelasan kepada keluarga orang saya yang terkorban dalam serangan Sulu di Lahad Datu. Jadi, dia perlu jawab,” kata Khalid.
Bagaimanapun, Azmin berkata polis sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha mereka menjawab soalan rakyat mengenai pelbagai skandal kewangan.
“Gangguan ini perlu dihentikan dan pemimpin BN sepatutnya menjawab soalan rakyat mengenai pelbagai skandal kewangan yang mencengkam negara,” katanya.