Sindiran media pro-BN kononnya PAS menukar dasar dari Negara Islam kepada negara kebajikan dijawab oleh Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ceramah khas di Dewan Fadhil Noor, Taman Melewar malam tadi.
Katanya Islam dikagumi pemerintahannya suatu ketika dahulu oleh orang Islam dan bukan Islam adalah kerana konsep kebajikan yang menyeluruh dalam mentadbir umat manusia.
“Ajaran Islam menyeluruh, termasuk politik. Zaman Khulafa Ar Rasyidin kerajaan Islam jatuhkan Rom dan Parsi. Bukan sangat kerajaan itu diruntuhkan dengan kekuatan tetapi kerana kerajaan itu zalim terhadap rakyat sendiri.
“Zaman Rom rakyat tidak boleh memiliki harta, hanya bekerja untuk maharaja. Datang Islam, tonjolkan kesamarataan. Beri peluang yang sama kepada rakyat bukan Islam untuk memiliki harta. Sebahagian besar rakyat masuk Islam. Yang tidak masuk Islam mereka menyukai Islam,” katanya.
Hadi menempelak media dan pemimpin Umno yang buta Islam kerana mempersoalkan tentang konsep negara kebajikan
“Mereka yang buta Islam sahaja anggap negara kebajikan ini perkara asing. Islam telah melaksanakan negara kebajikan berabad lalu. Konsep pemerintahan itu menyebar hingga ke Afrika Utara, Timur jauh, sampailah ke Asia Tenggara.
“Malah sejarah China menyebut walaupun raja China tidak masuk Islam namun ketika dinasti Ming ramai pegawai dari kerajaan Abbasiyah yang dilantik menjadi pentadbir dalam kerajaan China termasuk menjadi Menteri Kewangan,” tambah Hadi.
Turut berceramah ialah selebriti Bob Lokman yang melontarkan idea bagaimana anak-anak muda perlu didekati oleh PAS. Anak muda tidak hiraukan kenaikan harga barangan, mereka hanyut dengan budaya hiburan yang dibawa BN. PAS perlu mendekati mereka dengan cara yang tersendiri. Bob juga meminta PAS memikirkan bagaimana industri hiburan akan menjadi islamik sekiranya PAS-PR memerintah kelak.
Menjawab lotaran itu Naib Presiden Salahudin Ayub dalam ucapannya membayangkan PAS akan mencontohi beberapa negara Islam lain dalam konsep hiburan.
“Di Iran apabila kerajaan Shah tumbang, Ayatollah Khomeini bertemu para budayawan meminta pendapat bagaimana untuk melahirkan hiburan Islam. Kesannya sekarang ini Iran telah mempunyai industri hiburan Islam yang baik. Filem-filem Iran telah dikenali hingga ke peringkat antarabangsa. Insyaallah kita juga akan berbuat begitu,” kata Salahudin.