Biar pun kerajaan menyatakan keadaan ekonomi Malaysia lebih baik daripada mana-mana negara dalam Asia namun hakikatnya setiap hari semakin banyak syarikat mengurangkan pekerja.
Pekerja yang dibuang bukan sahaja dalam kalangan bawahan tetapi juga pada level eksekutif dan jawatan pengurusan lainnya. Salah seorang daripadanya, Tony, 36 tahun yang pernah bekerja sebagai eksekutif teknologi maklumat (IT) di kawasan perindustrian Kepong berkata, selepas diberhentikan beberapa bulan lalu beliau mengalami kesukaran untuk mencari pekerjaan baharu.
“Apabila tempat kerja saya mengurangkan jumlah pekerja, saya diberhentikan.
“Selepas satu bulan, saya gagal mendapat kerja walaupun lebih 25 surat permohonan telah dihantar, saya ambil keputusan untuk jadi pemandu teksi,” kata Tony.
Beliau memberitahu, selain daripada menghantar surat permohonan, beliau juga cuba mencari kerja sebagai eksekutif IT di kilang-kilang lain tetapi kilang-kilang tersebut sama ada tidak lagi mengambil pekerja baru atau pun sedang dalam proses mengurangkan pekerja.
Katanya, terdapat juga kilang yang akan tutup pada bulan hadapan dan oleh itu tidak lagi mengambil pekerja.
Tony yang mempunyai dua orang anak dan isterinya mengajar di sebuah tadika berpendapat kini ekonomi negara sudah berada pada tahap membimbangkan tetapi kerajaan masih tidak dapat berbuat apa-apa untuk memperbaiki keadaan tersebut.
“Saya juga amat bimbang kadar faedah pinjaman perumahan akan mengalami kenaikan. Saya dengar dari rakan usahawan kadar tersebut akan mengalami kenaikan selepas Amerika Syarikat menaikkan kadar ‘Federal Reserve’ pada bulan Disember akan datang ini. Jika kadar di AS naik 3% maka kadar di sini pun akan naik. Nilai hutang rumah akan bertambah.
“Sedangkan kerja yang bagus sukar dicari, kos sara hidup pula melambung naik. Saya rasa golongan bergaji rendah akan mengalami kesukaran hidup pada tahun depan,” katanya lagi.