Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu yakin parti berusia 3 bulan itu akan berjaya mendaftarkan 100,000 ahli menjelang akhir tahun ini.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu menambah, terdapat permintaan tinggi daripada orang Islam terutamanya golongan profesional dan aktivis sosial untuk parti seperti Amanah yang bersifat Islamik tetapi inklusif.
Amanah ditubuhkan bekas pemimpin PAS yang menggelar diri mereka “progresif”, dan terdiri daripada pemimpin dan ahli Parlimen terkenal.
Mengambil contoh Kelantan yang mengejutkan pemimpin Amanah, Mat Sabu berkata mereka menerima sokongan hebat walaupun negeri itu kubu kuat PAS.
Beliau mendakwa sokongan orang ramai terhadap Amanah di Kelantan setanding dengan PAS dan Umno.
“Mengikut kajian kami, kedudukan di Kelantan sekarang sudah jadi 30:30:30:10 iaitu di antara Amanah, PAS, Umno, atas pagar atau lain-lain,” katanya dalam satu wawancara khas bersama The Malaysian Insider.
Mohamad turut memetik kajian Ilham Centre yang mengatakan 15% ahli PAS di Kelantan sudah menyertai Amanah.
Menurut Ilham Centre, 35% lagi ahli masih berada dalam PAS tetapi menjadi “harum manis”.
Menurut Mohamad, tidak mustahil Amanah boleh menjadi parti terkuat dalam Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Jangkaan Mohamad ini berdasarkan apa yang beliau dakwa sokongan menyeluruh daripada orang ramai terutamanya golongan profesional Melayu-Islam terhadap parti itu sejak ditubuhkan September lalu.
“Dengan gelombang dan peningkatan yang ada yang jauh lebih besar daripada apa yang kami usahakan, saya yakin ini akan terjadi,” katanya.
Amanah ditubuhkan selepas pemimpin progresif PAS ditolak dalam pemilihan tahun ini.
“Ketika kami bertemu buat pertama kali di Johor, kami ada 4 pilihan; kekal dalam PAS, aktif dalam NGO, sertai mana-mana parti Pakatan Rakyat yang ada atau menubuhkan parti baharu.
“Saya pada awalnya mahu menyertai NGO tetapi tolakan dari bawah mahukan kami tubuhkan parti baharu dan keputusan kolektif kami membuat pilihan itu,” kata Mohamad merujuk kepada pertemuan pertama mereka di Bakri, Johor 16 Jun lalu.
Menurut Mohamad, semua keputusan diputuskan Amanah bersifat kolektif di kalangan pemimpinnya bukan berdasarkan ketaksuban atau kepatuhan kepada mana-mana pemimpin.
Bekas ahli Parlimen 3 penggal itu berkata, kekuatan Amanah kerana disertai pelbagai pihak yang selama ini tidak setuju atau sudah meninggalkan mana-mana parti dalam negara ini di samping anak muda baru mahu berjinak dengan politik.
Selain itu menurut Mohamad, ramai pemimpin pelajar kini menyertai Amanah dan memegang pelbagai jawatan dalam sayap Pemudanya walaupun masih belum tamat pengajian masing-masing.
Sekali lagi mengambil contoh Kelantan, Moahamd berkata hampir kesemua tokoh-tokoh masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) profesional yang selama ini aktif di Kelantan tetapi tidak menyertai mana-mana parti kini menyertai Amanah.
Mohamad mengakui, Amanah paling subur di Pantai Barat bermula dari Pulau Pinang, Ipoh sehingga ke Johor Baru tetapi perkembangan di Kelantan amat mengejutkannya.
“Sebelum ini Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Rahim (Wan Abdullah) sudah mengumumkan Amanah tidak akan bertanding kerusi negeri di Kelantan (untuk mengelakkan pertembungan dengan PAS) tetapi dalam pertemuan terakhir saya dengan beliau, Wan Rahim kata ia terpaksa dikaji balik ekoran perkembangan ini,” katanya.
Untuk rekod parti terbesar dalam PH hari ini adalah PKR dengan keanggotaan sekitar 500,000 ahli, diikuti DAP dengan 300,000 keahlian.