Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan kongres mereka pada 6 Jun lalu. Dalam ucapan dasar Pengerusi Nasional PSM, Dr Nasir Hashim menyentuh mengenai perubahan politik di luar negara dan pergolakan politik yang melanda Malaysia mewarnai tahun 2011.
Bagi beliau politik angin perubahan yang melanda terutama di negara-negara Arab telah meruntuhkan kerajaan-kerajaan diktator negara berkenaan. Kerajaan baru yang dibetuk lebih berdemokratik. Katanya malaysia juga tidak terlepas dilanda angin perubahan berkenaan yang bakal menyaksikan perumabahan dalam pilihanraya akan datang.
“Perjuangan rakyat sentiasa bergolak di mana-mana jua dan pada setiap pelosok dunia ini. Kerana angin perjuangan semakin kencang. Sentiasa mendedahkan kuasa rakyat menentang ketidakadilan dan kekejaman. Baru-baru ini berpuluh-ratus-ribu rakyat Negara-negara Arab turun ke jalan raya menuntut hak mereka. Tidak tahan lagi menderita di bawah dinasti diktator-diktator dan raja-raja di mana masalah kemiskinan, kekejaman dan pembunuhan bermaharajalela. Keadaan menjadi teruk lagi apabila inflasi melambung tinggi dan rakyat tidak dapat pekerjaan. Lantas yang kaya bergelumang dalam kekayaan dan yang miskin pula terhumban ke dalam lembah papa kedana. Amalan korupsi, nepotisme, kronisme dan sekongkolan sudah menjadi budaya hakiki.
“Keadaan ini meletup seperti ‘retak menunggu belah’ apabila rakyat Tunisia memberontak terhadap kematian seorang anak mudanya. Mendiang berkelulusan tinggi namun tidak berjaya mendapat pekerjaan. Cuba berniaga di pinggiran jalan. Namun diusir secara ganas lalu membakar diri. Kematian ini, kemarahan ini, mencetuskan pemberontakan rakyat pada Negara-negara Arab. Kerana semua mengalami musibah yang agak sama.
“Kalau kita teliti apa yang berlaku, perihal kesempitan rakyat di dalam negara masing-masing maka kita dapat saksikan bahawa faktor-faktor yang mencetuskan pemberontakan ini tetap membara, menunggu pencetus yang dapat mencelikkan dan menggerakkan rakyat. Negara kita di canang sebagai negara yang kaya dengan pendapatan per kapita yang membanggakan. Namun mengikut data Bangsa-Bangsa, jurang antara yang kaya dan miskin amatlah luas di Negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya.
Isu-isu yang tidak diselesaikan dengan baik juga dijangka bakal mengundang kemarahan berterusan rakyat dan kebangkitan tidak dapat dielakkan sekiranya kerajaan terus lena dan melakukan denial syndrom terhadap masalah yang membebankan rakyat.
“Isu kematian Sdr Teoh Beng Hock belum selesai lagi. Masih terumbang ambing dengan alasan-alasan yang mencabar hukum akal. Kemungkinan besar mereka yang bertanggungjawab akan terlepas begitu sahaja. Kini ada kematian lagi
“Isu Tiga Datuk-T yang cuba memfitnahkan Sdr Anwar juga tidak didakwa. Walhal menayangkan adegan seks dan menjemput masyarakat umum menyaksikannya adalah suatu kesalahan. Nampaknya Negara kita sudah menghalusi amalan hipokrasi menjadi suatu seni sastera moden (they have successfully made hypocrisy to a very fine art).
Keputusan pilihan raya di Sarawak sungguh tidak disenangi oleh BN. Kini kita menerima berita bahawa BN berhasrat mempercepatkan pilihan raya umum ? Walaupun begitu Negara kita ini masih dicengkam dengan politik wang, agama dan perkauman. Kita makin sedar bahawa rentak politik dan isu-isu di Sabah dan Sarawak sungguh berbeza dengan apa yang berlaku di Semenanjung. Ada kalanya pihak Semenanjung yang bersalah kerana gigih mengekspot isu-isu yang memecahbelahkan rakyat ke sana.
“Ada yang berpendapat bahawa pertandingan tiga-penjuru di Sarawak membawa padah. Dipercayai bahawa kejayaan yang besar dapat diperoleh sekiranya ketidaksefahaman atau keghairahan merebut kerusi pilihan raya dapat diatasi. Soalnya adakah kemenangan DAP di Sarawak dapat mengubahkan senario politik di Perak. Sebaliknya pula kita harus berwaspada agar tidak memperkasakan keangkuhan dan sikap yang tidak bertoleransi,” tegasnya.
Dr Nasir menyatakan PSM akan kekal dengan perjuangan membela golongan rakyat marhaen yang tertindas oleh pengaruh kapitalisme jahat yang menjajah serta cuba menyelesaikan setiap masalah yang dideritai rakyat.
“PSM terus bersama rakyat. Menerajui protes dan menyerah memorandum GST; FTA; Akta Kesatuan; Gaji minima; Perumahan dan pinjaman; alam sekitar. Kita juga berpeluang mengkaji semula (post–mortem) terhadap segala kegiatan kita agar tidak mengulangi kelemahan yang sama dan mengesyorkan pendekatan baru supaya kita terus mempelopori pendekatan baru dalam dunia Sosialisme. Maka itulah kita bertungkus-lumus memberi peluang pada semua agar mencedok ilmu di mana jua dan mengkajinya mengikut keadaan Negara sendiri,” ujarnya.
Kuasa Ketiga, MCLM dan NGO
Beliau turut menyentuh mengenai keghairahan kuasa ketiga terdiri dari NGO dan beberapa badan bebas yang ingin memperjuangkan rakyat. Sebahagiannya mendabik dada berjuang lebih baik daripada parti politik.
“Di mana-mana saja, pasti akan wujud kuasa ketiga atau badan-badan yang akan memperjuangkan nasib rakyat yang terpinggir. Badan-badan ini menegur kita tentang betapa majmuknya masyarakat kita dan jangan terburu-buru bertindak hingga memangsakan orang atau masyarakat lain. Kewujudan badan-badan ini sering berkaitan rapat dengan ketidakpuasan hati terhadap ragam pucuk pimpinan dan pemerintahan yang terlalu rakus mengejar kuasa dan kedudukan. Ataupun secara halus dan terbuka mengamalkan sistem penindasan ala kapitalis. Maka rakyat tetap ditindas dan di pinggir di bawah naungan slogan ‘demokrasi’ dan ‘keadilan’. Justeru itu pintu kuasa ketiga sentiasa terbuka sebagai pencegah pada keterlaluan.
“Namun begitu kita tetap berhak mempelajari dan berinteraksi dengan badan-badan ini dan mendalami keberkesanannya seperti MCLM, dan bloggers di dalam membangunkan Negara. Soalnya bagaimana kita dapat bekerjasama agar Negara kita mendapat nafas baru menuju ke wawasan yang memperkasa dan mendaulatkan rakyat. Kerana rakyat merupakan tulang belakang kepada pembangunan Negara. Pilihan raya umum yang mendatang ini memberi peluang bagi oportunis-oportunis dan intelek songsang mendabik dada, mengisytiharkan diri mereka sebagai wira-wira rakyat. Lazimnya badan-badan NGO terdiri daripada golongan intelek dan masyarakat Golongan Menengah. Soalnya bagaimana kita dapat juang bersama dalam isu-isu seperti iklim dan sekitaran untuk membawa perubahan.
“Kuasa Ketiga mestilah memaparkan satu sistem politik baru bukan berlandaskan acuan sistem kapitalis. Tetapi realiti politik negara hari ini adalah sentimen popular untuk menumpaskan rejim yang masih memerintah untuk lebih 5 dekad. Oleh yang demikian, seruan untuk sistem dua parti begitu dialu-alukan buat masa ini. PSM bersedia bersama PR untuk menumpaskan BN hari ini. Namun demikian strategi perjuangan PSM pada jangkamasa panjang adalah melawan sistem kapitalis yang mengancam kehidupan rakyat dan alam sekitar,” katanya.
Dr Nasir juga meminta agar ahli parti tidak terkilan jika Pakatan rakyat tidak menjemput mereka dalam beberapa aktiviti yang dianjurkan. PSM bukan komponen PR hanya parti yang bersekutu dengan PR. Namun baginya kerjasama perlu lebih dipereratkan pada masa depan.
“Bagaimana pula dengan hubungan PR dan PSM ? Adakah hubungan ini semakin pudar atau semakin segar ?. Sekiranya PSM tidak dijemput untuk ikut serta dalam beberapa program atau sebaliknya dijemput untuk hadir, adakah ini mengambarkan satu kerjasama atau sebaliknya? Memang banyak isu perlu dibereskan daripada isu calon pilihanraya dan logo untuk pilihanraya masa depan. Setiap isu ini harus diselesaikan dengan rasional dan mesti berlandaskan track rekod dan penglibatan seorang calon dan parti tersebut dengan masyarakat tempatan.
“Yang lebih penting sekali adalah, kita buat kerja dan memberi analisis yang tepat dan mudah difahami agar rakyat lebih sedar bahawa merekalah sumber ilham dan kekuatan kita dan PSM ingin bersama mereka menentang segala jenis penindasan dan kembalikan harga diri dan keyakinan diri.
“Ada kalanya tindakan Kerajaan Negeri tidak menyenangkan khususnya di Kota Damansara (isu Carrefour; pemilihan ahli Majlis MBPJ; Pekebun Semaian Pokok Bunga Sg Buloh); Bukit Jalil Estet; Rumah Panjang di PJ. Sering kali berita dan maklumat yang diberi oleh pihak pentadbir sungguh mengelirukan memberi gambaran mereka sendiri tidak teliti dan tidak siasat lantas menggunakan bulat-bulat maklumat yang disuapkan kepada mereka.
“Kita pernah berdialog dan sedang berusaha mengadakan dialog dengan beberapa kepimpinan PKR, PAS dan DAP. Kita dengan penuh tanggungjawab dan sedar memberi komitmen untuk bekerjasama untuk menjatuhkan kerajaan BN yang telah memerintah secara angkuh untuk lima dekad. Kita mahukan calon berkualiti, program berasaskan memperkasakan rakyat dan prinsip perjuangan berdasarkan aspirasi rakyat. Kita menegur PR jika mereka tidak selari dengan kehendak rakyat biasa atau juga jika mereka sekongkol dengan golongan kapitalis,” jelasnya.