Khairuddin Abu Hassan yang ditahan polis selama 2 bulan kerana membuat laporan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara, berkata beliau terdorong mengambil tindakan sedemikian kerana mendakwa pihak berkuasa tempatan tidak mempedulikan skandal syarikat sarat hutang itu.
Bekas pemimpin akar umbi Umno itu berkata, beliau membuat laporan dengan 5 pihak berkuasa asing selepas begitu banyak aduan yang difailkannya dalam negara didakwanya tidak diendahkan.
“Saya sudah buat 7 laporan polis di ibu pejabat polis Dang Wangi. Namun, tiada tindakan langsung diambil polis.
“Saya buat laporan bermula 12 Disember, 2014 sehingga Julai tahun ini,” Khairuddin kepada The Malaysian Insider dalam satu pertemuan baru-baru ini.
“Saya juga buat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata anak kelahiran Pulau Pinang yang juga merupakan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu.
Setakat ini, Khairuddin, 53, melaporkan mengenai 1MDB dengan agensi penguatkuasa di 5 negara iaitu Switzerland, Hongkong, Perancis, Singapura dan United Kingdom.
Pada 18 September, sehari sebelum mengambil penerbangan ke New York bagi menemui Biro Persekutuan Siasatan (FBI) Amerika Syarikat, bapa kepada 4 anak itu ditahan dan kemudiannya dipenjarakan.
TMI: Boleh anda ceritakan mengenai pengalaman menjadi tahanan polis selama 2 bulan?
Khairuddin: Pengalaman ini satu penting kerana saya tidak biasa masuk lokap. Jadi, bila masuk, ini juga sebahagian ilmu yang diduga Tuhan. Dalam lokap tiada apa, kita dilayan secara baik. Bagaimana sekalipun, yang pegawai atasan itu saya tidak tahulah, tetapi pegawai bawahan cukup baik dan saya cukup puji, sifat profesional mereka cukup tinggi. Kita tidak dapat layanan istimewa tetapi kita dijaga dengan begitu baik dan rapi. Saya masuk lokap Dang Wangi selama 24 hari, tetapi akibat demam denggi saya dimasukkan ke wad Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) selama 11 hari.
TMI: Adakah anda ditempatkan bersama tahanan lain atau diasingkan?
Khairuddin: Di dalam lokap saya duduk 2 orang. Tidak bercampur. Namun selepas 19 atau 20 hari, apabila peguam saya Matthias Chang ditangkap, dia dimasukkan sekali satu lokap dengan sayalah. Maka saya duduk 3 orang.
TMI: Kenapa anda bertegas melaporkan mengenai 1MDB?
Khairuddin: Ini soal selamatkan negara kita, ini bukan soal nak jatuhkan kerajaan atau Umno. Ini wadah perjuangan. Saya nak tegakkan kebenaran.
TMI: Ada dakwaan tindakan Datuk didorong (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad. Adakah ia benar?
Khairuddin: Sebenarnya perjuangan saya tidak ada kena mengena dengan Tun M. Dalam isu perjuangan dalam 1MDB, saya tidak pernah bincang sepatah pun dengan Tun M. Ini wadah perjuangan saya. Saya dulu naib ketua bahagian Batu Kawan. Saya dipilih daripada akar umbi Umno dan rakyat. Bila sebagai naib ketua, mereka suruh saya lawan rasuah, jadi saya lawan. Saya bukan orang suruhan Tun M. Kalau saya orang suruhan Tun M, saya mungkin sekarang sudah jadi menteri. Bagi saya dakwaan itu adalah satu persepsi jahat dan tidak bertanggungjawab yang cuba nak mengaitkan dan mewujudkan konspirasi yang tidak wujud. Saya pergi luar negara buat laporan polis, saya ajak peguam pergi. Apa maknanya? Maknanya saya buat berdasarkan peraturan. Dinasihatkan peguam, cara nak melapor, dan disaksikan dengan peguam. Peguam hanya beri perkhidmatan guaman kepada saya, tetapi kenapa peguam saya juga turut ditahan sekali dengan saya? Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia, peguam ditangkap dengan anak guam.
TMI: Dakwaan mengatakan anda berkait rapat dengan Dr Mahathir memandangkan hubungan anda dengan peguamnya, Matthias. Adakah Matthias juga peguam Dr Mahathir?
Khairuddin: Tidak, Mathias adalah bekas setiausaha politik Tun M dan bukannya peguam beliau. Peguam keluarga saya ialah Hanif Khatri Abdulla. Tetapi waktu nak buat laporan polis, memang saya ajak dia (Mathias) untuk nasihat saya cara nak buat laporan polis yang betul di luar negara, dan jadi saksi. Maknanya kita buat ikut peraturan dan saluran undang-undang. Lagipun dia ada 40 tahun pengalaman sebagai peguam.
TMI: Jika benar perkara ini tiada kaitan dengan Dr Mahathir, mengapa beliau dilihat bersama di mahkamah sewaktu pembebasan anda tempoh hari?
Khairuddin: Saya tiada kena mengena dengan Tun M. Beliau seorang tokoh negarawan. Saya ini bagi Tun M, hanyalah tahi kuku dan haprak. Perjuangan saya (menentang Najib) mungkin dia hargai. Kita nak lawan rasuah, jadi mungkin atas dasar ini (Dr Mahathir menghargainya). Kita buat laporan rasuah, kita kena tangkap. Dan saya rasa mungkin Tun M datang ke mahkamah untuk beri sokongan moral kepada kami. Saya pun tak tahu dia nak datang.
TMI: Baru-baru ini, anda memberi kenyataan menyokong pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimana anda boleh berubah pendirian sedangkan satu masa dahulu anda pernah menerbitkan buku berjudul “50 dalil mengapa Anwar Ibrahim tidak boleh menjadi perdana menteri”.
Khairuddin: Benar, saya penerbit buku 50 dalil kenapa Anwar tak boleh jadi perdana menteri pada 1998. Dulu bila Anwar ada buat kesilapan, saya bertindak. Dan sebab itu, sekarang bila Najib buat kesilapan, saya bertindak. Kita tidak boleh pilih kasih dalam perjuangan. Bila presiden buat salah, kita kena akur dan kita kena fikir bagaimana nak selamatkan parti.