Satu perkara yang menjadi masalah dalam institusi Islam di negara ini ialah kurangnya akauntabiliti dan ketelusan daripada segi pengurusan kewangan, kata pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin.
Pemimpin PKR itu berkata, apa yang menarik di Malaysia, terdapat ada pihak dalam sesetengah institusi menggunakan agama untuk menghalalkan tindakan tidak betul.
“Kita jangka bila perdana menteri kaki rembat, menteri dia juga kaki rembat juga. Itulah realiti yang berlaku dalam Malaysia.
“Kalau tengok menteri kaki rembat, maka orang bawahan juga akan rembat,” katanya mengulas pendedahan skandal Yayasan Ekonomi Pembangunan Islam Malaysia (Yapeim) pada forum “Skandal Yapeim: Benar atau fakta?” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Kuala Lumpur, malam tadi.
Walaupun tidak menyebut nama menteri itu, Wan Ji dipercayai merujuk kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dikaitkan dengan skandal Yapeim.
“Masalahnya, ia berlaku di dalam negara orang Islam dalam institusi Islam. Tak faham kenapa kalau nama Islam mesti akan jadi masalah tapi itu realitinya,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Ji berkata, agama bukanlah menjadi satu faktor penyumbang kepada perkara itu berlaku tetapi individu itu sendiri, kerana dalam Islam menekankan aspek akauntabiliti dan ketelusan.
Sebelum ini, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) antara lain mendedahkan, Yapeim menggunakan dana tabung anak yatim membiayai perbelanjaan seorang menteri dan isterinya di Amerika Syarikat (AS) pada Mei tahun lepas, yang aktivitinya termasuk bermain golf dan mengunjungi pusat beli-belah.
NOW turut mendakwa Yapeim membiayai “Simposium Perdana Paris: Isu Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahawanan dan Pengurusan” memakan belanja RM290,000 di Paris pada hujung 2014 dan awal 2015, yang tidak ada kaitan dengan anak yatim tetapi menggunakan dana Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin).
Forum yang turut menampilkan ahli panel Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh yang juga bekas pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), aktivis hak asasi manusia Syukri Razab, dan Pengarah NOW Akmal Nasir itu membincangkan dan mengulas skandal yayasan itu.
Akmal menggalakkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyelewengan supaya membongkarnya agar kebenaran dapat didedahkan sebagaimana pendedahan mengenai Yapeim.
Akmal berkata, pendedah maklumat biasanya mendedahkan dokumen melalui Internet, namun, ada juga yang datang berjumpanya secara peribadi.
“Pernah juga pendedah maklumat meletakkan dokumen pendedahan maklumatnya di depan pintu pejabat kami,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya amat mengambil berat dan perlu mengenal pasti kesahihan dokumen dan pendedah maklumat akan dipastikan terjamin keselamatannya.
Forum penerangan itu merupakan forum pertama bagi jelajah penerangannya di 4 negeri iaitu bermula di Kuala Lumpur, seterusnya Kedah, Johor dan Pahang.
Akmal berkata forum itu dianjurkan bagi membolehkannya memberi penerangan jelas mengenai skandal kepada pencarum Yapeim.