Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) mulai 1 Januari depan yang dilihat bercanggah dengan pelbagai peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Satu Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, semua pihak perlu memahami bahawa DLP walaupun dikatakan melibatkan sekolah perintis sebenarnya melanggar struktur tonggak kenegaraan dan pembinaan negara bangsa seperti sudah termaktub dalam Perkara 152, Akta Pendidikan 1996, Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Negara.
Menurutnya, hal ini termasuk takrifan rasmi yang bukan sekadar berlegar pada upacara semata-mata tetapi berkaitan dengan penerapan nilai kebangsaan dan pengukuhan jati diri rakyat negara ini.
“Rasmi di sini bermaksud segala urusan dalam situasi rasmi seperti mesyuarat dan persidangan sama ada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
“Kementerian Pendidikan sendiri ialah institusi rasmi bukan entiti upacara dengan menteri pendidikan pula ialah orang yang bertanggungjawab kepada segala peruntukan dan akta berkaitan bahasa kebangsaan.
“Menteri juga tertakluk kepada Akta 152 termasuk mungkin ramai sengaja lupa, Wasiat Raja-raja Melayu terhadap kedudukan dan pengupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan apa lagi dalam sistem pendidikan.
“Soalnya, mengapa kita melanggar struktur-struktur itu? Ibarat kita melanggar tembok di lebuh raya, apabila struktur runtuh, segalanya runtuh,” ujarnya ketika diwawancara Malaysia Dateline pagi tadi.
Beliau yang juga bekas Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) itu turut membangkitkan kemungkinan pelaksanaan DLP sebagai muslihat pihak tertentu mahu mewujudkan sekolah dwibahasa.
“Soalnya, ada atau tidak, sekolah dwibahasa dalam peruntukan perlembagaan negara kita? Tidak ada. Kalau ada usaha ke arah itu, bagi saya jelas, sekolah dwibahasa melanggar roh perlembagaan.
“Di SJK (Sekolah Jenis Kebangsaan) Cina dan Tamil, Bahasa Melayu adalah mata pelajaran wajib tetapi perlu kita ingat, SJK bukan sekolah dwibahasa,” tegasnya.
Mempersoalkan peruntukan kos sebanyak RM38.5 juta untuk pelaksanaan DLP di 300 sekolah yang dikenal pasti sebagai projek perintis, beliau berkata, keputusan kementerian itu secara tidak langsung bercanggah dengan dasar kerajaan sedia ada termasuk pengumuman pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 lalu.
“Alasan mereka, DLP ini program, bukan dasar tapi PPSMI itu dasar. Sekali lagi, kalau program sekalipun tetap bercanggah dengan semua struktur asas kita. Kenapa kementerian sendiri boleh langgar peruntukan perlembagaan?” bidasnya yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan.
Penyakit lain, ubat lain
Datuk Zainal turut kesal Kementerian Pendidikan tidak serius untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris benar-benar berkesan sebaliknya memangsakan guru dan murid dengan program seperti DLP.
“Ibarat sakit kepala tapi diberi ubat cirit-birit. Mana kena. Kita ada kira-kira 70,000 guru-guru TESL. Di mana guru-guru ini? Semua universiti ada lepasan guru-guru TESL selain hantar ke luar negara tetapi kenapa murid dan penuntut universiti kita masih dikatakan tidak menguasai Bahasa Inggeris?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melalui kementerian terbabit untuk jujur mengakui kelemahan dalam proses P&P Bahasa Inggeris termasuk dari segi pedagogi, keupayaan guru dalam bahasa itu juga jumlah jam pengajaran Bahasa Inggeris yang masih tidak mencukupi.
“Saya difahamkan kerja hakiki guru untuk mengajar hanya 2.9 jam seminggu. Inilah masalahnya. Itu belum lagi tekanan kerja-kerja pengkeranian yang terpaksa guru-guru tempuhi. Pelan Pendidikan pun sudah sebutkan masalah ini ketika pada masa sama kebanyakan PIBG tidak efektif hanya serah semua perkara kepada guru,” ujarnya.
Katanya, usaha memantapkan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris mesti sejajar dengan penerbitan buku dalam bahasa Melayu ditambah supaya proses merakyatkan ilmu berlaku dan sampai ke peringkat bawah.
“Jangan biar bahasa Inggeris jadi arnab, bahasa Melayu jadi kura-kura-kura sampai diperlekeh, tidak mendapat pengiktirafan bahkan dituduh konon tidak bertaraf antarabangsa,” ujarnya lagi.
Bahasa pengantar di universiti
Mengulas lanjut liku-liku panjang lebih 50 tahun lalu daripada kalangan guru, pemimpin dan intelektual terdahulu dalam mengukuhkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, beliau membangkitkan persoalan siapa yang memusnahkan segala usaha dan pencapaian berkenaan.
“Tahun 1956 dulu, guru-guru Melayu lepasan SITC menuntut penubuhan sekolah menengah Melayu. Kalau tidak, mereka keluar dari Umno. Barulah tahun 1958, Tunku Abdul Rahman laksanakan. Itu pun buat permulaan ada yang menumpang di kantin sekolah Inggeris tetapi harus kita semua jelas, itu bukan sekolah dwibahasa.
“Menjelang tahun 1970-an, segala Akta Pelajaran dan Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan. Kita menyaksikan bahasa Melayu terbukti berjaya menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan sehingga ke universiti.
“Ramai antara rakyat kita hari ini menjadi profesional terbilang dan diiktiraf dunia hasil kejayaan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi.
“Sayangnya, masuk tahun 2002, Dr Mahathir umumkan PPSMI. Sistem pendidikan kebangsaan kita yang sebelum itu sudah sedia berjalan mantap mulai dihancurkan.
“Sampai tahun 2009, Muhyiddin jadi Menteri Pelajaran, diperkenalkan dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasa Bahasa Inggeris) sebagai langkah apa yang dipanggil sebagai ‘soft landing’ untuk pemansuhan PPSMI. Tiba-tiba sekarang, mahu pula DLP.
“Jadi, siapa yang menghancurkan semua ini? Kalau saya lontarkan soalan ini kepada PKR, bertepuklah mereka. Kalau saya tanyakan kepada PAS, mungkin mereka bertakbir tapi kalau saya lemparkan kepada Umno, tak mustahil saya kena ‘boo’,” jelasnya.
Sehubungan itu, Datuk Zainal menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan program itu dengan Kementerian Pendidikan benar-benar mengenal pasti usaha mengatasi kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
“Sekali lagi saya tekankan DLP tidak ada dalam struktur, tidak ada dalam undang-undang. Segala perubahan yang tergesa-gesa hingga sanggup membelakangi perlembagaan dan kepentingan kenegaraan menyebabkan sistem pendidikan di negara ini menjadi tidak mantap.
“Jangan kita biarkan DLP mengulang kesilapan besar PPSMI dengan tidak lebih sekadar bermotifkan keuntungan melalui projek bekalan perisian ICT berkaitan, padahal guru-guru terbeban dan akhirnya pelajar dan rakyat terbanyak menjadi mangsa,” tambahnya lagi.