Kewujudan komuniti baharu pendatang asing di tengah-tengah Kuala Lumpur bukan sesuatu yang disenangi rakyat tempatan.
Sepanjang 5 tahun lalu, lorong dan jalan tertua di pusat bandar raya perlahan-lahan berubah menjadi hab bagi pendatang baharu – pekerja asing dari Bangladesh, Nepal dan Myanmar – sekadar menyebut beberapa negara.
Perniagaan di sana tumbuh bagaikan cendawan hingga ketika ini terdapat papan tanda yang menggunakan sepenuhnya bahasa Nepal atau bahasa ibunda lain, serta pengendali kedai yang bertutur sangat sedikit Bahasa Malaysia dan dengan selesa menggunakan bahasa mereka sendiri.
Tidak ramai rakyat Malaysia yang menjadi saksi perubahan di kawasan ini, dan salah seorang daripada mereka ialah Louis Yap, pemilik kedai jam tangan yang dibuka sejak 43 tahun lepas.
Kedai itu diasaskan bapa Yap yang kini berusia 77 tahun.
“Mereka orang asing. Siapa beri mereka lesen? Mereka tidak sepatutnya mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan,” kata Yap kepada The Malaysian Insider.
“Lihatlah di sekeliling. Di mana perniagaan rakyat Malaysia?” soalnya.
Katanya, tempat itu sebelum ini dikuasai ramai peniaga Cina dan Melayu, tetapi entah bagaimana, perniagaan di kawasan itu kini dijalankan masyarakat pendatang pula.
“Keadaan berjalan seperti biasa sehingga mungkin 5 atau 6 tahun lalu. Kemudian, tiba-tiba sahaja, mereka ini mula datang,” katanya.
Yap menegaskan, beliau bukan mahu berlaku prejudis terhadap warga pendatang, tetapi kebimbangannya lebih kepada aspek ekonomi kerana beliau percaya peniaga tempatan perlu dilindungi.
“Bukan di sini sahaja, (jika) anda lihat di Klang, lihat kawasan lain di KL, perkembangan ini semakin jelas dan ketara. Mereka yang pegang perniagaan. Apa akan jadi kepada kita?” katanya.
Kedai Yap, yang sebahagian besarnya menarik pelanggan setia yang menetap di sekitar kawasan itu dan membeli-belah di sana selama beberapa dekad, kini antara kedai milik warga tempatan yang sukar ditemui di kawasan antara Leboh Pasar dan Jalan Petaling itu.
Terdapat sebuah kedai emas dan sebuah lagi kedai membaiki jam tangan, itu sahajalah kewujudan perniagaan tempatan di kawasan itu.
Seorang lagi yang menyaksikan perubahan di tengah bandar raya itu ialah Muhammad Fendi, 34, kakitangan bank yang bekerja di lokasi itu sejak 16 tahun lalu.
“Perubahan mula berlaku sekitar tahun 2010. Semua kawasan ini dulunya ramai peniaga Melayu dan Cina,” katanya.
“Kemudian, pendatang asing ini datang, dan mereka mampu membayar sewa yang lebih tinggi, jadi, pemilik bangunan membenarkannya. Malah, ada beberapa kedai yang dimiliki warga asing,” katanya.
Beliau juga berkata, mereka yang tinggal di situ juga memberi nama jalan.
“Ada yang dipanggil jalan Nepal, jalan Bangladesh, jalan Burma,” kata Muhammad.
“Mereka ada nama mereka sendiri. Kita seperti berada di negara asing.”