Mendakwa Sarawak terus dianaktirikan oleh BN selepas 52 tahun, PKR hari ini melancarkan kempen ChangeMakers yang bertujuan “untuk membawa perubahan kepada masyarakat pedalaman” di negeri itu.
Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, Sarawak merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara melalui hasil minyak namun sehingga kini masih lagi ada kawasan di negeri itu tidak menerima kemudahan asas seperti bekalan elektrik, infrastruktur, sekolah dan jalan raya.
“ChangeMakers akan membawa perubahan melalui projek kemasyarakatan tempatan.
“Antara projek yang sedang dalam perancangan adalah pemasangan stesen janakuasa mini di kawasan-kawasan pendalaman di Sarawak dan projek pendidikan pengundi,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Kata Tian, ChangeMakers diwujudkan di bawah kempen Demi Rakyat untuk membawa kesedaran bahawa perubahan dan manfaat mampu diperoleh selagi ada usaha dan iltizam politik.
Sementara itu penyelaras ChangeMakers, Adam Fistival Wilfrid, beliau menggesa golongan muda bersama-sama menyertai kempen berkenaan “untuk membawa perubahan”.
“Kami meminta anak muda sertai ChangeMakers. Kami sudah pergi ke lima buah kampung dan selepas ini kami akan perluaskan dan masuk ke kawasan lain.
“Saya mahu anak muda bersama kami menjadi sukarelawan ChangeMaker untuk membawa perubahan,” katanya.
Dalam perkembangan lain Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Talha pula berkata, berikutan sekatan yang dikenakan terhadap beberapa pimpinan parti itu, ketuanya, Zuraida Kamaruddin sudah menghantar surat kepada Ketua Menteri Sarawak.
Menurutnya, surat yang dihantar antara Oktober dan November itu bagaimanapun masih belum mendapat sebarang jawapan daripada Tan Sri Adenan Satem.
“Ketua Wanita PKR menulis surat kepada Ketua Menteri Sarawak untuk memohon pertimbangan sekatan yang dibuat dan minta untuk berjumpa dan berbincang.
“Kita masih menunggu dan belum ada apa-apa lagi maklum balas,” katanya.