ANKARA: Parti Keadilan Dan Pembangunan (AKP) pimpinan Perdana Menteri Tayyip Erdogan berjaya memenangi pilihan raya umum Turkey kelmarin untuk memerintah buat penggal ketiga.
Bagaimanapun, ia gagal mendapatkan dua pertiga majoriti dalam parlimen walaupun mendapat 50 peratus undi. Ini bermakna parti Encik Erdogan masih perlu mendapatkan sokongan parti lain jika ingin meminda perlembagaan.
Parti pembangkang utama, Parti Rakyat Republikan, mendapat 26 peratus undi. Sebuah lagi parti pembangkang, Parti Tindakan Nasionalis, mendapat 13 peratus undi.
Dalam ucapan kemenangannya, Encik Erdogan berikrar akan bersikap ‘rendah hati’ dan mendapatkan konsensus dengan pembangkang sebelum menggubal perlembagaan negara.
Sebelum ini, para pengkritik melahirkan kebimbangan Encik Erdogan akan menggunakan kemenangannya untuk mengukuhkan lagi kuasa dan menyekat kebebasan serta menahan pencabarnya.
‘Rakyat telah menyampaikan mesej kepada kami agar menggubal perlembagaan baru ini melalui konsensus dan rundingan. Kami akan mendapatkan konsensus dengan parti pembangkang utama, pembangkang, parti di luar parlimen, media, dengan badan bukan pemerintah (NGO), dengan cendekiawan, dengan sesiapa saja yang mahu utarakan sesuatu,’ kata Encik Erdogan.
AKP dilaporkan memenangi 325 daripada 550 kerusi parlimen. Sebelum ini ia menguasai 331 kerusi. Parti itu telah menjadikan Turkey salah sebuah ekonomi dunia yang pesat membangun.
Dalam ucapannya, Encik Erdogan turut membayangkan cita-cita Turkey menjadi ketua di rantau itu dan suara bagi masyarakat Islam dengan mengisytihar bahawa kemenangan partinya akan turut membawa manfaat kepada penduduk Islam Bosnia, Lebanon, Syria dan Palestin.
Baru-baru ini, Turkey mempertahan hak penunjuk perasaan di negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara yang mengalami pergolakan dan bantahan rakyat. – Agencies