Walaupun mengakui bahawa dalam apa-apa usaha dan tindakan, kerjasama sentiasa dianggap sebagai faktor penting, termasuk politik, PKR memberi amaran kepada PAS bahawa akibat kerjasama dengan Umno mungkin amat buruk buat rakyat.
Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan bahawa sebagai rakan kongsi yang masih lagi rakan tahaluf siyasi dengan PAS, walaupun parti itu meninggalakan Pakatan Rakyat sehingga menyaksikan gabungan itu berkubur, namun biro politik PKR perlu membuat beberapa penjelasan.
“Bahawa bekerjasama tidak ada salahnya malah digalakkan dalam rangka usaha yang jelas ke arah mewujudkan kemakmuran ekonomi, menjamin keadilan sosial dan kepemimpinan yang amanah.
“Namun pertimbangan yang bijaksana perlu diambil apabila rakan kerjasama tidak serius malah menjadi penyumbang kepada kerosakan, penyelewengan, rasuah dan kezaliman,” katanya dalam satu kenyataan.
Syed Ibrahim berkata, dalam konteks politik negara sekarang, amatlah jelas kepincangan Umno-BN dalam memerintah dan mentadbir.
Menurutnya, krisis ekonomi dan kepemimpinan berlaku kerana kelemahan dan kebobrokan mereka yang berkait dengan prinsip amanah, keadilan, kebenaran, tatakelola dan pertanggungjawaban.
“Skandal hutang 1MDB, derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, pelaksanaan GST dan penggunaan undang-undang seperti akta hasutan sebagai ancaman adalah antara pelanggaran prinsip-prinsip tersebut oleh Umno-BN yang akibatnya amat buruk buat rakyat,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan PAS bahawa asas kerjasama wajib kepada prinsip-prinsip yang didokong yang membawa manfaat kepada umum namun tidak boleh sama sekali bekerjasama dalam perkara dosa seperti berdusta dan perkara melampaui batas seperti pecah amanah dan kezaliman.
Justeru, katanya, dalam kalimah bahasa, kerjasama dalam perkara keburukan pun dianggap kerjasama.
Beliau memetik ayat 2 Surah Al-Maidah dari al-Quran yang menyatakan bahawa kerjasama mestilah berasaskan kepada melaksanakan kebaikan dan bukan kerosakan.
Ketua Penerangan PKR itu juga memetik Hadith Riwayat Bukhari di mana Rasulullah SAW bersabda bahawa umat Islam mesti membantu mereka yang tertindas dan menghalangi mereka yang melakukan kezaliman itu.
Kesimpulannya, kata beliau, bekerjasama tidak ada salahnya malah digalakkan dalam rangka usaha yang jelas ke arah mewujudkan kemakmuran ekonomi, menjamin keadilan sosial dan kepemimpinan yang amanah.
Namun pertimbangan yang bijaksana perlu diambil apabila rakan kerjasama tidak serius malah menjadi penyumbang kepada kerosakan, penyelewengan, rasuah dan kezaliman.