Bekas Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar mencabar mana-mana individu yang mahu Pas bergabung dengan Umno agar membuat kenyataan terbuka.
Katanya, kerjasama Umno – Pas kini sampai ke tahap mengelirukan ahli bawahan apabila Naib Presiden Pas Idris Ahmad mencabar mana-mana individu dalam Pas yang mahu parti itu bergabung dengan Umno supaya meninggalkan Pas.
“Contoh nama-nama yang disebut oleh Ust Idris yang lari mengikut Umno semuanya adalah bertaraf pemimpin. Ini yang merunsing mereka. Bukan soal bersetuju atau tidak dengan isu Pas bergabung, berkerjasama atau bertahaluf dengan Umno BN. Tapi kerunsingan mereka kerana dilihat tiada ketentuan haluan masa depan politik parti Pas dalam nak menghadapi PRU14 dan PRN11 Sarawak.
“Saya tidak tahu apakah tujuan dan maksud daripada kenyataan tersebut. Ramai ahli berpandangan kenyataan tersebut seolah-olah wujudnya usaha pihak-pihak tertentu dalam Pas untuk bergabung, berkerjasama atau bertahaluf antara Pas dengan Umno BN.
“Masakan tiada angin pohon bergoyang. Sudah tentu induvidu tersebut bertaraf pimpinan tertinggi Pas dan bukannya ahli biasa. Kalau ahli biasa mereka percaya Ust Idris tidak perlu membuat kenyataan untuk meminta individu tersebut meninggalkan parti kerana usaha yang dilakukan oleh ahli biasa tidak akan memberi kesan,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, kenyataan Idris seolah-olah menggambarkan wujudnya dua pihak dalam kepimpinan Pas. Satu pihak hendak bergabung, berkerjasama atau bertahaluf dengan Umno BN manakala satu pihak lagi menentang.
“Saya tidak pasti siapa di kalangan mereka. Tetapi kenyataan Ust Idris menjadi bahan perbualan dan perbahasan di kalangan ahli Pas.
“Saya sendiri dihubungi mereka meminta pencerahan. Saya tiada maklumat apa yang sedang bergolak dalam Pas. Tetapi ahli-ahli menyatakan wujudnya kenyataan-kenyataan yang pada pandangan mereka berlaku percanggahan terbuka di kalangan pimpinan.
“Ditambah lagi dengan kenyataan Dato’ Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas yang menimbulkan pelbagai spekulasi tentang masa depan dan haluan politik Pas,” tambah Mahfuz.
Mahfuz juga berasa janggal apabila Naib Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan ahli Pas yang menentang kerjasama Pas – Umno perlu akur kepada keputusan Majlis Syura Ulamak Pas.
“Mereka (ahli Pas) menyatakan bagaimanakah Zahid boleh mengeluarkan arahan dan boleh tahu keputusan Majlis Syura. Adakah Majlis Syura sudah buat keputusan? Ini yang membingungkan ahli-ahli.
“Saya percaya kerisauan ahli-ahli Pas dalam isu ini ada asasnya dan bukan soal bersetuju atau menentang kerjasama. Tetapi mereka mahukan ketentuan dan kepastian.
“Saya percaya mereka boleh menerima keputusan hatta untuk berkerjasama dan bertahaluf dengan Umno BN. Yang penting bagi mereka ialah keputusan yang pasti,” luah Mahfuz.
Baru-baru ini, Naib Presiden Pas Idris Ahmad mengeluarkan kenyataan yang bersifat ‘menghalau’ mana-mana ahli Pas yang mahu bekerjasama dengan Umno agar meninggalkan parti dan bergabung dengan Umno secara individu.
Katanya, pandangan peribadi tidak boleh dipakai. Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu sahaja yang pergi. Kenyataan itu menimbulkan spekulasi terdapat dalam kalangan pemimpin tinggi Pas yang mahu membawa parti itu bergabung dengan Umno.