Saranan menteri Ahmad Maslan agar rakyat melakukan dua kerja bagi menambah pendapatan terus menerima kritikan awam, termasuk golongan yang sememangnya telah melakukan dua pekerjaa dalam sehari.
Salah seorang, Zan, 44 tahun yang telah melakukan dua kerja sejak lebih 10 tahun lalu.
Operator pengeluaran di sebuah kilang itu bekerja sambilan sebagai penjual buah di Stadium Shah Alam pada hujung minggu.
Bapa kepada 3 orang anak itu berkata, meskipun menjual buah hanya pada hujung minggu, beliau terpaksa mengorbankan masanya untuk perniagaannya.
Zan berkata, kerja tambahannya memerlukan beliau bangun pada jam 4 pagi setiap Ahad.
“Meskipun melakukan 2 pekerjaan saya tetap merasakan amat sukar untuk menyimpan kerana kos berterusan meningkat,” katanya dan menambah hasil jualannya itu hanya dapat menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.
Katanya, apabila memulakan 2 pekerjaan, beliau mampu menyimpan sedikit wang tunai dan membeli rumah dan juga trak kecil untuk perniagaannya.
“Sekarang keadaan semakin sukar. Sebagai contoh, kos untuk harga buah meningkat 50%, malah buah oren juga dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM3 sekotak,” katanya, merujuk kepada pelaksanaan GST.
Berbanding dahulu katanya, orang ramai boleh membeli sehingga 3 kilogram mangga dengan harga RM10, tetapi kini peniaga juga sudah tidak mampu mendapatkan buah dengan harga begitu.
“Sebab itu saya memutuskan tidak boleh lagi menjual mangga, ianya tidak menguntungkan,” katanya sambil menambah kos lain seperti sewa tapak juga meningkat sebanyak 100%.
“Tidak ada gunanya sekiranya melakukan 3 pekerjaan jika kos berterusan meningkat seperti ini,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Ahmad, Zan berkata timbalan menteri itu tidak sepatutnya membuat kenyataan “gila” yang boleh menyakitkan hati rakyat.
“Sampai bila beliau fikir yang kita perlu mengorbankan masa untuk melakukan 2 kerja,” soalnya.
Sementara itu Fadzley, 25 tahun yang bekerja sebagai eksekutif di syarikat swasta berkata, beliau perlu mencari masa membolehkannya melakukan kerja keduanya, iaitu menjual kek.
Fadzley berkata pekerjaannya itu memerlukannya bekerja hampir 12 jam sehari di mana kadang-kala, beliau hanya boleh tidur jam 2 pagi sekiranya menerima tempahan untuk membakar kek pada hujung minggu.
“Kadang-kadang pelanggan mahu membeli kek pada hari biasa. Jadi selepas saya habis kerja saya akan bakar kek untuk menyiapkan tempahan.”
Fadzley yang tinggal di Keramat AU di Kuala Lumpur dan bekerja di Shah Alam berkata sudah tidak makan tengah hari kerana ingin menyimpan modal bagi perniagaan baharunya, iaitu menjual minuman.
“Sekiranya saya tidak buat kerja ini, saya tidak akan dapat menyimpan. Gaji saya hanya boleh menampung komitmen bulanan seperti pinjaman kereta, perjalanan ke tempat kerja dan pinjaman pendidikan,” katanya.
Fadzley yang tinggal bersama keluarganya juga berkata akan membeli barang dapur bagi rumahnya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab.
“Dengan keadaan ekonomi semasa, rakyat tidak ada pilihan selain melakukan kerja tambahan.
“Bagaimanapun, saya percaya melakukan 2 kerja itu adalah pilihan dan bukannya sesuatu paksaan yang perlu dilakukan,” katanya.