Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mahu kerajaan mengambil daya usaha membantu menyelesaikan masalah pelajar Malaysia di luar negara yang turut terjejas kesan daripada kejatuhan nilai ringgit yang dijangka akan lebih buruk berbanding kegawatan ekonomi pada penghujung 1997 lalu.
“Kegawatan ekonomi yang besar dalam tahun 1997 hingga 1998 menyebabkan negara juga menghadapi krisis kewangan apabila ekonomi negara jatuh merundum dan tidak dapat mengimbangkan kedudukan ringit Malaysia ketika itu.
“Kesannya terpaksa dirasai di kalangan rakyat yang tinggal di seberang laut seperti pelajar luar negara dan syarikat-syarikat pelaburan di luar negara juga lingkup.
“Hari ini keadaan hampir serupa tapi kali ini, kita dan dunia juga berkemungkinan akan menghadapi masalah kegawatan ekonomi agak lebih lama sedikit hingga tahun depan.
“ Jika kerajaan tidak pantas membaiki dan bertindak segera menyelesaikan masalah dibangkitkan rakyat makin ramai yang akan terbeban,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media diadakan selepas Pelancaran Tabung Kemanusiaan Pelajar Melayu Mesir anjuran Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) petang tadi di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Bahru, baru-baru ini.