Selepas 110 hari Pakatan Harapan (PH) wujud dan dilancarkan, gabungan tiga parti pembangkang ini perlu melangkah maju kehadapan dengan lebih cerdas, bernas dan kemas kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.
“Lebih cerdas dengan keberanian politik bukan sahaja sebagai wadah politik, bukan sahaja sebagai wadah pembangkang tetapi juga sebagai menunggu hari kita di Putrajaya.
“Lebih bernas supaya kita dapat menawarkan reformasi yang komprehensif untuk perubahan politik dan bukan sekadar menukar Putrajaya tetapi menukar konfigurasi politik mereformasi institusi-institusi awam dan melahirkan dasar utama yang lebih tuntas pada pertengahan tahun ini.
“Lebih kemas untuk menjadi kesatuan politik yg mampan antara tiga buah parti yang berhimpun disini. Sebab itu perjanjian ini penting,” katanya dalam persidangan pimpinan PH di Shah Alam.
Dalam persidangan ini juga, beliau berkata, setiap parti sudah tentu mempunyai masalah namun haruslah berusaha untuk diselesaikan dengan cara yang paling baik.
“Sebagai parti dianggotai manusia biasa, kita bukan wadah yang tidak ada masalah tetapi kita berusaha sedaya upaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tidak menambahkannya, atau sekurangnya tidak merebak,” katanya.
Selain itu katanya, perjanjian Pakatan Harapan yang telah dibincangkan di pelbagai peringkat di majlis setiausaha, majlis presiden parti masing-masing ini adalah terbuka dan yang penting adalah persefahaman antara satu sama lain.
“Perjanjian ini bukan dokumen undang-undang, bukan satu MOU tapi dokumen perjanjian politik. Perjanjian ini tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar, ia adalah persefahaman, iltizam antara ketiga parti dalam PH.
“Perjanjian ini bukan tongkat sakti atau kayu cemati tetapi tali yang disepakati yang dipegang teguh dengan sekuat hati demi ibu pertiwi. Berdoa agar kita dirahmati dan diberkati,” katanya