Pakatan Harapan enggan terjerumus dalam polemik politik tidak menguntungkan rakyat selepas PAS hari ini menyatakan pendiriannya terhadap salah satu parti dalam gabungan itu sekali lagi.
Dalam kenyataan bersama dibuat PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), gabungan itu menyatakan polemik berpanjangan hanya akan mengalihkan perhatian mereka daripada memperkatakan isu kepentingan rakyat, selain “membendung keborosan Umno dan BN”.
“Malah polemik politik berlebihan itu tidak disenangi rakyat dan memberi kelebihan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk kekal berkuasa,” kata kenyataan itu.
Ia ditandatangani Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Setiausaha Organisasi, DAP Anthony Loke; dan Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir.
Pagi tadi PAS menyatakan selain Umno, AMANAH adalah musuh baru parti itu selepas kewujudannya dilihat bakal menyebabkan pengagihan kerusi dalam pilihan raya berubah.
PAS masih bekerjasama dengan PKR tetapi memutuskan hubungan dengan DAP selepas mereka pernah bersama-sama membetuk Pakatan Rakyat.
Kemunculan AMANAH kemudian membentuk gagasan baru iaitu Pakatan Harapan.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menegaskan parti itu tidak akan menyerahkan kerusi yang ditandinginya kepada parti lain walaupun tetap dengan prinsip mahukan pertandingan satu lawan satu dengan BN.
Sementara itu salah seorang tokoh AMANAH, Hanipa Maidin, berkata partinya tetap menganggap PAS sebagai rakan.
Melalui Twitter, Ahli Parlimen Sepang itu menulis: “PAS mengisytiharkan AMANAH sebagai musuhnya. Biarlah. Kami (AMANAH) tetap menganggap PAS sebagai kawan kami walaupun sesetengah kawan boleh bersifat sangat nakal”.