Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan mencetuskan ‘malapetaka berganda’ kepada negara.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata kajian mendapati prestasi pelajar menunjukkan kemerosotan lebih ketara jika program tersebut diteruskan seperti mana program pengajian Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
“Dari penyelidikan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) mengenai keberkesanan pelaksanaan PPSMI 2013-2015 didapati lebih ramai pelajar sekolah rendah dan menengah yang gagal dalam pelajaran Matematik dan Sains termasuk bahasa Inggeris.
“Ini boleh dinamakan sebagai ‘malapetaka berganda’ bagi pelajar-pelajar di negara kita,” katanya pada sidang media di Wisma AMANAH, hari ini.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata tindakan ini juga dilihat mengkhianati keputusan memartabatkan Bahasa Melayu di mana persetujuan tentangnya terkandung dalam ‘7 Wasiat Raja-Raja Melayu’ untuk mendapatkan kemerdekaan.
Selain menyatakan ketegasan bahawa AMANAH menyokong sepenuhnya Gerakan Bantah DLP, beliau turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang didakwa mengutamakan cadangan PEMANDU berbanding Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Katanya kerajaan seharusnya mengambil kira pandangan ahli akademik, guru-guru, NGO dan pejuang bahasa dan budaya sebelum membuat keputusan melaksanakan DLP.
“Kita tak tentang usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi tidak dengan menjadikan ia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.
“Peningkatan dalam penguasaan bahasa Inggeris perlu dicapai melalui pengajaran dan pembelajaran sebagai salah satu mata pelajaran dalam sistem pendidikan, bukan dengan mengubah dasar,” katanya.
Sementara itu Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Datuk Abdul Raof Hussin yang turut hadir pada sidang media itu berkata, DLP dilihat sebagai jelmaan kepada PPSMI.
“Ia akan membawa kesan yang sama. Prestasi pelajar dalam mata pelajaran Matematik dan Sains tak tunjukkan peningkatan malah prestasi dalam bahasa Inggeris juga merosot.
“Jika ia diteruskan kita akan hadapi krisis kekurangan pelajar aliran Sains pada masa akan datang. Ia akan menyusahkan dan memberi masalah kepada pelajar dan sistem pendidikan negara,” katanya.
Katanya, pelajar tidak boleh dijadikan sebagai eksperimen atau bahan ujikaji oleh kementerian sebaliknya kementerian perlu memegang kepada dasar pendidikan negara sedia ada.