Pakatan Harapan diwakili Parti Sosialis Malaysia dan Parti Amanah Negara (Amanah) mengadakan himpunan berasingan di atas Jalan Tun Perak berhadapan Dataran Merdeka.
Himpunan diadakan kira-kira pukul 3.00 petang dan dihadiri kira-kira 600 penyokong.
Himpunan tersebut adalah bagi membantah tindakan rejim Najib yang berkeras ingin menandatangani perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) pada Februari depan di New Zealand.
Beberapa pemimpin PSM berucap di hadapan penyokong yang melakukan ‘duduk bantah’ mengecam rundingan TPPA yang dilakukan secara rahsia selama 5 tahun.
Salah seorang adalah ahli parlimen Sungai Siput Dr. Michael Jeyakumar Devaraj yang mengingtakan rakyat Malaysia akan kenaikan harga ubat-ubatan sebaik sahaja perjanjian tersebut berkuat kuasa.
Presiden Amanah Mohammad Sabu pula berucap mengenai kedegilan kerajaan BN menandatangai TPPA akan membawa kejatuhan rejim itu.
“Di Thailand berpuluh ribu berhimpun, PM Yingluck (Shinawatra) jatuh tapi mata wang Baht tak jatuh. Di Malaysia, Bersih 4 berhimpun selama dua hari PM (Najib) tak jatuh tetapi ringgit jatuh,” katanya sinis.
Mat Sabu mengingatkan rakyat Malaysia telah menderita akibat ekonomi dikuasai kroni BN yang mendapat kontrak dan tender perkhidmatan penting negara sebelum kedatangan TPPA lagi. Dengan TPPA, kata beliau, tentu sekali rakyat akan lebih menderita.
“Sekarang pun petani di Sik (Kedah) mencatu makanan, mahasiswa mencatu makanan. Apa nak jadi pada masa depan?” tanyanya.
Beliau mengingatkan selain TPPA, rasuah adalah perkara utama yang perlu ditolak. Oleh itu, pemimpin politik tidak boleh bersetuju dengan Najib yang mengumpul RM2.6 bilion tetapi menolak TPPA sebagaimana sesetengah NGO yang berhimpun menolak TPPA di Padang Merbok.
Mat Sabu juga berkata perjuangan menentang TPPA baru sahaja bermula dan hanya akan berhasil apabila BN ditumbangkan dalam pilihan raya umum.
“26 Januari ini (perbahasan TPPA di Parlimen) bukan kayu ukur, tetapi sejauh mana rakyat boleh buat perubahan pada masa akan datang,” katanya.
Himpunan rakyat bantah TPPA itu ditutup dengan nyanyian vokalis kumpulan muzikal rakyat The BangArt, Amir yang menyampaikan dua lagu sebelum aktivis PSM Arutchelvan mengumumkan himpunan berakhir.