Bekas Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa terus mempersoalkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung Pas Takiyudin Hasan berkenaan nasihat yang mereka berikan sehingga berlakunya kegagalan kerajaan negeri membentangkan usul meminda Akta 355 menerusi Bil Persendirian Dewan Rakyat tahun lalu.
Menurut Husam tindakan tergesa-gesa yang dilakukan oleh Pas membentangkan usul pindaan pada sesi parlimen Mac 2015 adalah sesuatu yang di luar keputusan Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah Persekutuan (Bersama Pusat Dan Negeri).
“Adakah Saudara Mohd Amar dan Saudara Takiyudin tahu dan faham apa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa berkenaan?
“Jika anda tahu, mengapa anda berdua tidak menasihati Presiden supaya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ketetapan Jawatankuasa berkenaan?” tanyanya dalam satu kenyataan media.
Kata Husam, usul tersebut dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat tanpa dirundingi terlebih dahulu atau dimaklumkan kepada mana-mana peringkat Pas Pusat, melainkan Presiden yang juga MP Marang yang telah dinasihatkan sebagai pembawa usul.
“Oleh kerana itu, tindakan sedemikian tidak dapat diberikan pandangan kedua.
“Bagaimanakah kegagalannya, jika berlaku, hendak dikongsikan dengan parti atau orang lain. Sehinggakan draf usul itu sendiri mempunyai kesalahan berkait sama ada kuasa yang hendak dipinda terletak di bawah Senarai Pertama atau Senarai Kedua Jadual Kesembilan Perlembagaan Malaysia!
“Salah seorang Penolong Setiausaha Agung Pas di waktu itu telah memainkan peranan merangka draf itu, mendapatkan tandatangan Presiden dan menyerahkan usul itu ke Parlimen. Pakar undang-undang juga tidak dirujuk,” dedah Husam.
Menurut beliau, tindakan tergesa-gesa itu berlaku kerana dua orang pemimpin Kelantan didatangi oleh wakil salah seorang Menteri Pusat yang memberi jaminan bahawa usul tersebut akan diizinkan untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen yang sedang berjalan di waktu itu.
“Kedatangan wakil Menteri membawa pesan Menteri untuk bertindak sedemikian ialah sewaktu sidang Dun Kelantan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II(1993) 2015 sedang berjalan pada tarikh 17 hingga 19 Mac.
“Sebaik pindaan dibawa iaitu pada 18 Mac, draf usul itu terus ditandatangani. Bahkan, Bil Persendirian berkenaan terus dibawa tanpa menunggu Enakmen yang baru diluluskan itu digazetkan terlebih dahulu.
“Satu kegopohan luar biasa tetapi setakat ini, berakhir dengan ketidak sampaian,” ujar Husam lagi.
Pada pandangan Husam, kerajaan Kelantan perlu cermat. Jawatankuasa Teknikal Bersama Pusat dan Negeri yang secara bersama menetapkan pindaan Akta 355 hendaklah dibenarkan menjalankan tugas terlebih dahulu. Kemudian pindaan dibawa ke Dewan oleh Menteri atas nama Kerajaan Pusat selepas mendapat perkenan Raja-Raja terlebih dahulu.
“Tujuan pindaan diputuskan dan dibentangkan oleh Menteri atau atas nama Kerajaan Pusat adalah kerana beberapa pertimbangan, yang saya tidak akan panjangkan di sini atas dasar kemaslahatan jangka panjang.
“Pertimbangan dan pandangan yang hampir sama telah timbul semasa mesyuarat Pas Pusat. Termasuk, cukup bilangan MP yang menyokong, perkenan Raja-Raja dan laluan yang paling tepat, berhemah, bukan untuk political mileage .
“Adakah individu-individu terlibat tidak merasa bersalah kerana mengabaikan pandangan jemaah mereka sendiri selain membelakangkan keputusan Jawatankuasa Teknikal Bersama?
“Jika pandangan mereka lebih tepat, kenapa sampai kini usaha itu nampaknya tidak kesampaian?” tanya Husam.
Husam juga turut menanyakan soalan-soalan cepu emas, antaranya siapakah pemimpin Pas yang memberikan info tidak tepat dan memberikan keyakinan yang tidak benar itu kepada Presiden?; Dari manakah pemimpin Pas berkenaan mendapatkan jaminan itu? Apakah bentuk jaminan itu? Bertulis, lisan atau apa?; Ketepatan atau kekhilafan pemimpin atau pemimpin-pemimpin itu menilai jaminan yang diberi; Apakah wujud tipu daya politik dalam jaminan itu? dan jika ia tipu daya politik, siapa perlu bertanggung jawab kerana terperangkap dengan tipu daya itu?
Husam juga mempersoalkan mengapakah Mesyuarat Jawatankuasa Bersama terus terhenti sejak usul MP Marang dimasukkan ke Dewan Rakyat.
“Mesyuarat terakhir Jawatankuasa berkenaan adalah pada 12 – 14 Februari 2015, iaitu kira-kira sebulan sebelum Sidang Dun Kelantan pada bulan Mac tahun itu.
“Sejak itu, Jawatankuasa berkenaan tidak lagi bersidang.
“Pada hemat saya (terhentinya bersidang) adalah kerana kekecewaan sesetengah pihak atas kegopohan Pas yang mungkin didorong oleh pertimbangan politik yang singkat,” tegasnya.
Sehubungan itu kata Husam pas kini dilihat sebagai parti yang begitu mudah dipermainkan dan tidak matang.